Malaysia Dateline

Gesa kaji semula peranan ATM: Patriot bidas Harris Salleh

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membidas dan menyifatkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh berhubung isu pertahanan dan keselamatan negara sebagai jahil.

Presidennya, BG Datuk Mohamed Arshad Raji (B) berkata, pihaknya merujuk kepada laporan Sabah’s Daily Express 1 Julai lalu yang memetik kenyataan Harris Salleh yang menyeru Anggota Parlimen mengemukakan usul supaya peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikaji semula.

Harris selanjutnya dilaporkan berkata, peruntukan berbilion ringgit yang kini digunakan untuk ATM, boleh digunakan untuk memulihkan ekonomi negara yang sakit akibat pelbagai skandal kerajaan terdahulu dan memberikan pelbagai cadangan berdasarkan hujah bahawa Malaysia dijangka tidak akan terlibat dengan peperangan.

“Cadangan Harris Salleh dibuat tanpa mengambil kira pertahanan, keselamatan kepentingan strategik serta keperluan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, pertimbangan Harris Salleh hanya berasaskan perspektif ekonomi di mana beliau beranggapan, dengan memotong peruntukan buat ATM, jumlah dana yang dijimatkan boleh membantu memulihkan ekonomi negara kini.

“Harris Salleh tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai bagaimana ATM beroperasi, keperluannya dalam pertahanan berkaitan kepentingan strategik negara, yang mempunyai impak kepada pembangunan ekonomi sosial serta kemakmuran negara,” tambahnya.

Perlu diketahui kata beliau, jika bukan kerana adanya ATM dan PDRM di Sabah dalam tahun-tahun pembentukan dahulu, Sabah tidak akan menjadi seperti sekarang.