Malaysia Dateline

Gesa kerajaan negeri Johor selamatkan kontraktor kecil Bumiputera

Kerajaan negeri Johor didesak agar mengambil tindakan segera melaksanakan agenda menyelamatkan kontraktor kecil Bumiputera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, tindakan kerajaan negeri memberikan konsesi penuh penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS) kepada syarikat Safwa Global Sdn Bhd adalah pembaziran kepada hasil negeri.

“Mengapa kerajaan terpaksa membazirkan peruntukan yang lebih kepada syarikat-syarikat konsesi sedangkan kerajaan mempunyai Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya yang mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja tersebut?

“Penyelewengan akan berlaku dalam pengagihan kerja apabila diserahkan kepada pihak swasta dan sudah tentu yang menjadi mangsa adalah kontraktor kecil Melayu yang terkesan dengan himpitan sistem tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Johor sebelum ini telah melancarkan petisyen membantah cadangan untuk menswastakan kerja-kerja MARRIS di negeri itu kepada Safwa Global Sdn Bhd.

Menurut petisyen tersebut, lebih 3,000 kontraktor G1, G2, G3 dan G4 akan terjejas teruk sehingga mengakibatkan sehingga 50 peratus kontraktor akan gulung tikar jika cadangan itu dilaksanakan.

“Sebagaimana sebelum ini di mana pelaksanaan konsesi jalan-jalan negeri kepada syarikat Teto Sdn Bhd dan Amona Sdn Bhd telah mengakibatkan ramai kontraktor terjejas.

“Janji manis kerajaan negeri hanyalah tinggal janji manis. Kontraktor ditekan ditindas dan dimanipulasi oleh para kapitalis Melayu yang menindas bangsa sendiri,” dipetik daripada petisyen tersebut.

Mengulas lanjut, Khairuddin berpendapat penswastaan itu menyebabkan ada pihak yang membuat untung atas angin.

“Wujud orang tengah dan syarikat-syarikat konsesi mendapat pesanan kerja daripada pihak kerajaan,” katanya.

Selain itu, katanya, dilaporkan juga berkenaan dengan kelewatan bayaran terhadap kontraktor kecil yang berlaku dalam sistem tersebut.

Tegas beliau, usaha untuk mereformasikan sistem tersebut perlu diusahakan bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang layak dalam menjalankan kerja-kerja berkenaan.

“Mereka (syarikat konsesi) akan mengaih-agihkan kerja berkenaan kepada kontraktor yang berkemampuan dengan kadar harga yang lebih rendah serta kontraktor kecil tersebut akan dibayar selepas syarikat konsesi menerima bayaran dari kerajaan.

“Dakwaan syarikat konsesi untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil adalah hanya penyedap halwa telinga sahaja, hakikatnya hanya omong-omong kosong,” tegasnya.

Sehubungan itu, Khairuddin mendesak kerajaan pusat melalui Menteri Kewangan dan kerajaan negeri Johor untuk membuat reformasi yang bergerak ke arah yang lebih baik.

Khairuddin sebelum ini dilapor telah menyuarakan nasib serta keluhan kontraktor kecil yang semakin terhimpit dengan sistem yang berlaku dalam kerajaan negeri Johor pada masa ini.

Kerajaan negeri Johor difahamkan telah melantik syarikat-syarikat konsesi seperti Teto Sdn Bhd dan Amona Sdn Bhd untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

Sementara itu, Infra Desa (Johor) Sdn Bhd dilantik untuk untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan kampung manakala kerajaan pusat pula telah melantik Selia Selanggara Sdn Bhd untuk jalan-jalan persekutuan.