Malaysia Dateline

Gesa muktamadkan penurunan harga minyak masak Rabu ini

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera memuktamadkan keputusan menurunkan harga minyak masak dalam mesyuarat pada 16 Jun ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyebut bahawa perbincangan Rabu ini akan mempertimbangkan cadangan penetapan harga siling.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid yang mengatakan kerajaan akan berbincang pada Rabu, 16 Jun 2021 untuk menyelesaikan isu kenaikan harga minyak masak.

“Keputusan segera di pihak kerajaan diharap akan dapat dicapai pada Rabu hadapan dan rakyat akan menerima khabar gembira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkenaan berkata, selain KPDNHEP, perbincangan terbabit turut melibatkan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perusahaan dan Perladangan.

“Beberapa hari lepas dalam kenyataan yang dikeluarkan saya ada memberikan cadangan iaitu untuk kerajaan menimbangkan kaedah harga dua peringkat (two-tiered pricing) dan penetapan harga siling minyak masak dengan menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Adalah diharapkan kerajaan akan segera membuat keputusan memandangkan ‘trend’ kenaikan harga minyak masak ini sudah berlaku sekian lama bermula akhir tahun 2020,” jelasnya.

Terdahulu, orang ramai mengeluh apabila harga minyak masak botol lima kilogram (kg) dijual pada harga tinggi sehingga ada yang mencecah RM34.20 sebotol.

Untuk rekod, peniaga masih tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 walaupun harga jualan minyak masak botol lima kg tidak dikawal kerajaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sejak akhir tahun lalu, rakyat telah melalui beberapa musim perayaan termasuk Krismas, Tahun Baru Cina, Bulan Puasa dan Hari Raya Aidil Fitri, Perayaan Wesak, Pesta Gawai dan Kaamatan dan kini tinggal beberapa minggu lagi Hari Raya Haji.

“Sedia maklum permintaan terhadap minyak masak akan meningkat ketika musim-musim perayaan ini,” katanya lagi.