Malaysia Dateline

Gesa Musa tidak tumpu pembangunan di Kota Kinabalu

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman digesa menarik balik peruntukan RM500juta kerajaan negeri kepada anak syarikat milik penuh kerajaan negeri bagi pelaksanaan projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) dan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Khairuddin Daud

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sabah Khairuddin Daud berkata, kerajaan negeri seharusnya lebih memberikan tumpuan kepada projek pembangunan di sekitar Kota Kinabalu dan di daerah yang mempunyai persisir pantai yang indah berbanding dua projek yang dilaksanakan itu.

” Tempat-tempat menarik tidak hanya terdapat di Kota Kinabalu, bahkan terdapat di daerah seperti Kudat yang terkenal dengan keindahan simpang mengayau.

“Terdapat satu lagi pantai iaitu pantai kelambu di daerah Kudat yang tidak mendapat perhatian kerajaan Umno-BN iaitu di Pantai Kelambu dibiarkan kotor dengan sampah sarap dan tidak menjadi tumpuan pelancong kerana tiada promosi pelancongan dibuat terhadap pantai tersebut.

“Demikian juga perkampungan atas air yang merupakan tradisi rakyat Sabah dibeberapa daerah. Sekiranya diberikan peruntukan yang cukup, boleh diuruskan dengan baik dan teratur sekaligus menjadi tarikan pelancong.

“Malangnya, kerajaan Umno-BN pimpinan Tan Sri Musa tidak dapat melihat potensi pelancongan yang ada di daerah-daerah lain. Akibatnya, daerah-daerah lain jauh ketinggalan berbanding Kota Kinabalu.

“Lihat sahaja bagaimana daerah kecil Matunggong Kudat, hanya mempunyai satu deret bangunan kedai,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Musa pada Sabtu, dilaporkan berkata, beliau akan menjadikan Sabah seindah Singapura dan Dubai menerusi beberapa perancangan dan transformasi baharu termasuk TAED.

TAED merupakan projek mega yang dilaksana dan diselia oleh Tanjung Aru Eco Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah. Projek itu dijangka siap pada 2019.

Musa dipetik berkata bagi  pembinaan SICC, yang dijangka siap akhir tahun ini, berupaya menarik lebih ramai pelancong ke negeri Sabah sekali gus memacu pembangunan di negeri itu.

Pemuda Amanah Sabah juga menegaskan, di negeri itu, aspek pendidikan gagal dilaksanakan kerajaan Umno-BN berbanding sektor pelancongan.

“Buktinya semenjak Umno-BN memerintah di Sabah, di Pulau Banggi, pulau terbesar di Sabah dengan 36 buah kampung, hanya mempunyai sebuah sekolah menengah.

“Para pelajar yang mahu meneruskan pengajian dan berkemampuan, apabila sekolah menengah tersebut telah penuh, terpaksa menaiki feri selama 2 jam bagi meneruskan pengajian di daerah Kudat.
“Bagi yang tiada kemampuan, akan keciciran pendidikan hinggalah dewasa,” ujarnya.

Khairuddin yang juga TimbalanKetua Pemuda Pakatan Harapan Sabah juga berkata, pendidikan dijadikan manifestor Umno-BN sebaliknya tanggungjawab sesebuah kerajaan bagi menyediakan infrastruktur yang baik kepada rakyat kurang diberikan tumpuan.

“Apabila tiba musim pilihan raya, banyak sekali pengumuman projek sekolah, universiti dan kolej diumumkan. Selepas pilihan raya, hanya tinggal papan tanda projek pembinaan.
“Buktinya, janji Umno-BN pada 2012 untuk membina universiti di Tambunan hanya tinggal janji.BN menang, universiti hilang,” dakwanya.

Justeru seru beliau, agar rakyat Sabah tidak tertipu lagi dengan permainan Umno-BN pada PRU-14 yang akan datang.