Gesa PAS Selangor tarik balik kenyataan berbau perkauman

Gesa PAS Selangor tarik balik kenyataan berbau perkauman

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menggesa Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Prasad Hanif menarik semula kenyataannya yang dilihat bersifat perkauman.

Mariam Abdul RashidAhli Jawatankuasanya, Ustazah Mariam Abdul Rashid berkata, Prasad juga harus memohon maaf kepada Amanah atas tuduhan keterlaluan mendakwa parti itu sebagai pengkhianat kepada perjuangan Islam dan bertindak sebagai agen DAP untuk masyarakat Islam.

“Kenyataan pemimpin PAS semakina tidak konsisten antara satu sama lain. Mereka menolak DAP tetapi dalam Kerajaan Negeri (Selangor) sanggup kerjasama dan bersama dengan DAP.

“Menuduh Amanah sebagai agen DAP untuk merosakkan Islam adalah suatu tuduhan yang tidak berasas kepada Parti Amanah. Setakat ini tidak ada fakta dan bukti DAP itu anti Islam malah kerajaan negeri Pulau Pinang memberi peruntukan lebih kepada Jabatan Agama Islam,” ujar Ustazah Mariam lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Ekoran apa yang didakwanya sebagai “pengkhianat kepada perjuangan Islam,” Prasad dalam kenyataannya hari ini turut menegaskan bahawa PAS Selangor tidak akan mengiktiraf atau berkerjasama dengan Amanah.

“PAS Selangor bukan sahaja akan mempertahankan semua kerusi lantikan PAS tetapi ingin menegaskan bahawa Pan (Amanah) tidak ada tempat di dalam kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor telah tertubuh dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR,” ujar Prasad lagi.

Isu kerjasama Umno-PAS yang terus hangat diperkatakan banyak pihak menyaksikan pertembungan tajam antara PAS dan Amanah.

Pada masa sama, tindakan PAS menolak Amanah kerana bersama-sama DAP dalam Pakatan Harapan dilihat bercanggah dengan penerimaan parti itu untuk bersama-sama DAP dalam kerajaan negeri Selangor.

Pada Julai tahun lalu, mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS menetapkan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal apabila mendakwa DAP berterusan melakukan tindakan-tindakan provokasi selain campur tangan dalam soal akidah, dasar dan matlamat PAS.

TAGS