Malaysia Dateline

Gesa siasat kes letupan di Beirut

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini berharap punca letupan di pelabuhan di Beirut yang mengorbankan lebih 70 nyawa kelmarin disiasat dan mereka yang bertanggungjawab dihukum dengan sewajarnya.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dalam kenyataan bersama menegaskan, letupan itu berpunca daripada krisis politik di Lubnan.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi MANAR, Datuk Seri Ahmad Awang; dan Pengerusi SHURA, Datuk Abdul Ghani Samsuddin dalam kenyataan itu berpendapat pihak Israel yang selama ini mahu melemahkan Lubnan mengambil kesempatan daripada krisis di negara tersebut.

Mereka berkata, jika ada konspirasi memusnahkan Lubnan akan menyebabkan ketidakstabilan rantau Asia Barat yang sangat menguntungkan Israel.

“Kami kesal pemimpin-pemimpin Arab di rantau itu masih berpecah dan bertelingkah antara sesama sendiri yang mengakibat seluruh rantau itu dalam krisis,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan letupan itu, Presiden Lubnan, Michel Aoun memanggil Kabinet untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.

Lubnan meluluskan sejumlah AS$65 juta daripada peruntukan belanjawan tahun ini sebagai bantuan kecemasan.

Mengulas lanjut, MAPIM, MANAR dan SHURA mendoakan penduduk terlibat tabah melalui saat getir ini dan semua kepimpinan dari pelbagai parti politik di negara itu perlu bersatu membantu rakyat Lubnan.

“Lubnan memikul beban yang berat di rantau itu. Dalam keadaan krisis ekonomi dan politik yang sangat berat di Lubnan, ia masih menampung jutaan pelarian Palestin dan Syria.

“Kami yakin rakyat Lubnan dapat keluar dari ujian ini dan membangun semula sebagai negara yang stabil dan kuat.

“Kami juga mengharapkan agensi dunia serta negara-negara yang berkemampuan segera menghantar bantuan kemanusiaan,” dipetik dari kenyataan bersama itu lagi.