Malaysia Dateline

Gesaan tubuh RCI, Mujahid sedia buka fail pamer bukti proses pemulihan TH

Desakan Pemuda Umno agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) terutama sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH), bukanlah satu masalah bagi PH.

Bekas di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan pada akhirnya terletak pada menteri pada masa ini, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jelas Mujahid, beliau bersedia membuka semula fail dari awal proses pemulihan TH sehingga kedudukan institusi kewangan Islam itu mula stabil, dan bekerjasama untuk membentangkan segala bukti.

“Saya tiada masalah, sila jemput saya. Saya ada fail tebal, saya boleh cerita satu persatu pakej pemulihan daripada fasa pemulihan hingga kita punya kelestarian dan keberlangsungan.

“Syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) juga perlu dipanggil untuk membentangkan apa dia punya ‘finding’ ketika kami dilantik.

“Desakan RCI ini bagi saya, mereka cuma nak alih (perhatian) supaya orang tidak dengar cerita sebenar bahawa kita dah berjaya (pulihkan TH).

“Mereka buat seolah-olah kita buat tidak betul, sedangkan tidak ada isu,” tegasnya dalam temubual khas secara langsung bersama Malaysia Dateline di bangunan Parlimen semalam.

TH yang merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1963 kini mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan 125 cawangan serta memiliki sebuah pejabat di Jeddah, Arab Saudi di bawah Konsulat Malaysia.

Pada 15 Julai lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi menghantar memorandum agar kerajaan menubuhkan RCI bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai urusan TH yang diputuskan ketika PH mentadbir kerajaan

Katanya, segala tuduhan salah laku dan penyelewengan terhadap BN dan PH terdahulu hanya boleh dirungkaikan melalui penubuhan RCI yang bertindak secara bebas dan berkecuali.

Dakwa Asyraf Wajdi lagi, walaupun RCI terhadap TH bukan sebahagian daripada janji Perikatan Nasional (PN), rakyat berhak mendapat penjelasan telus terhadap pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan PH.