Malaysia Dateline

Gesaan tunai manifesto ingatan supaya kerajaan tidak leka, kata Mahfuz

Gesaan beberapa pihak termasuk pemimpin utama dalam Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan segera menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dilihat sebagai satu petanda baik untuk mengingatkan kepimpinan sedia ada supaya tidak leka dalam menjalankan tanggungjawab.

Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Mahfuz Omar berkata kerajaan mempunyai keazaman yang tinggi untuk melaksanakan semua janji yang telah dirangka terutama dalam aspek meringankan beban hidup rakyat.

“Semua sedia maklum, selepas mengambil alih kerajaan kita berhadapan dengan kekangan kewangan yang berat dan memerlukan tempoh untuk penyusunan semula dari aspek kewangan dan ekonomi. Dalam tempoh sebelum lima tahun ini, sebahagian besar janji tersebut boleh dilaksanakan.

“Semua pihak dalam parti gabungan PH juga sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan jika belum mereka boleh merujuk dengan kepimpinan parti masing-masing mengenai masalah yang sedang kita hadapi. Saya tidak rasa kita (kerajaan) lari dari landasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Walimatulurus Perdana semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah Datuk Johari Abdul, Khamis lalu, yang meminta kerajaan bertindak segera dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat bagi mengelak kepercayaan diberikan pada PRU14 lalu terhakis.

Johari dilaporkan berkata rakyat berada dalam keadaan gelisah dan kecewa kerana walaupun selepas tujuh bulan mentadbir negara tidak banyak perubahan yang dilakukan kerajaan PH.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata tiga prinsip utama yang disepakati parti komponen PH iaitu Perlembagaan Persekutuan; komitmen terhadap agenda reformasi; dan kerjasama PH berasaskan saling menghormati serta mempercayai antara satu sama lain, menjadi asas dalam melaksanakan perancangan kerajaan.

“Apa yang penting semua pihak harus terus fokus dalam menjalankan tanggungjawab di kementerian masing-masing. Mereka perlu fokus macam mana hendak laksanakan prinsip tersebut dalam setiap kementerian yang dipegang oleh wakil dari parti dalam PH,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak boleh ada penyimpangan oleh parti komponen dalam PH terhadap tiga prinsip itu kerana ia merupakan asas kepada penyatuan kerjasama pakatan itu sekali gus berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 lepas.