Gesaan undi BN untuk dapatkan ramai menteri MCA hina masyarakat Cina

Gesaan undi BN untuk dapatkan ramai menteri MCA hina masyarakat Cina

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, propaganda Datuk Seri Najib Razak dan MCA yang menggesa masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan lebih ramai menteri daripada MCA dalam kabinet sebagai menghina masyarakat Cina.

Kata beliau, bertentangan dengan persepsi Najib dan MCA, sejarah Malaysia telah membuktikan bahawa masyarakat Cina adalah kelompok masyarakat yang bekerja keras.

Mereka masih mampu melansungkan hidup biarpun tidak ada menteri kabinet daripada MCA, kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

“Melihat kepada keadaan selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), MCA tidak diberikan sebarang jawatan menteri sewaktu rombakan selepas 5 Mei, 2013.

“Presiden MCA Liow Tiong Lai hanya dilantik oleh Najib pada 25 Jun 2014. Untuk selama satu tahun, satu bulan dan 20 hari, masyarakat Cina tidak sedikit pun merungut kerana tiadanya menteri kabinet dari MCA, atau mendapat bantuan daripada menteri MCA,” kata peguam DAP itu.

Yang jelas tambahnya, MCA tidak lagi relevan kepada masyarakat Cina, dan MCA hanyalah parasit dalam BN dengan pelbagai kepentingan.

Ujarnya lagi, tanyalah mana-mana rakyat Malaysia dan jawapannya ialah “Mengapa perlu sibuk memikirkan berapa ramai menteri untuk mewakili kepentingan kita?

“Bahkan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu pun dan tidak peduli siapakah Menteri Pengangkutan itu, tetapi mereka masih mampu menyediakan keperluan diri.

“Kalau ada pun, yang mereka bimbangkan adalah mengenai berapa ramai orang jahat yang akan dilantik sebagai menteri kabinet selepas pilihan raya umum nanti.

“Rakyat sudah muak melihat pelbagai skandal membabitkan menteri kabinet,” kata Lip Eng lagi.

Tegasnya, rakyat mahukan menteri kabinet yang bersih dan berintegriti.

Beliau mencabar Liow Tiong Lai supaya menjadikan sesuatu yang wajib bagi semua menteri MCA mendedahkan semua harta yang mereka miliki ‘sebelum dan selepas’ dilantik sebagai menteri.

“Hanya selepas itu, barulah MCA boleh menang banyak kerusi pada PRU14 akan datang,” kata beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)