Wan Azizah perlu letak jawatan terlebih dahulu sebelum Anwar jadi PM

Wan Azizah perlu letak jawatan terlebih dahulu sebelum Anwar jadi PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gesaan pengunduran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan pelantikan timbalan perdana menteri yang baharu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Mohd Shaid Rosli.

Beliau berkata, dengan peletakan jawatan Dr Wan Azizah akan memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-8.

Mohd Shaid Rosli

“Gesaan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri tidak masuk akal sama sekali.

“Tidak mungkin dalam pelantikan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar sedangkan kedudukan timbalan perdana menteri itu masih lagi Datuk Seri Wan Azizah?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shaid yang juga Bendahari Bersatu Negeri Selangor itu berkata, isu pelantikan perdana menteri seharusnya pengikut persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bukannya datang dari satu parti sahaja.

Bahkan beliau turut menegur kepimpinan PKR dan anggotanya yang mengaitkan isu sensasi berkaitan video seks yang tular dan masih dalam siasatan polis itu dengan mana-mana pihak dalam komponen PH.

“Biarlah isu dalaman PKR diselesaikan oleh kepimpinan parti PKR itu sendiri.Keharmonian kerjasama parti dalam PH sangat penting dalam membina Malaysia Baharu,” kata Ketua Bersatu Bahagian Damansara ini lagi.