Gesaan wujud Akta Anti Lompat Parti sudah lama diingatkan

Gesaan wujud Akta Anti Lompat Parti sudah lama diingatkan

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, Akta Anti Lompat Parti sejak awal lagi sudah diingatkan segera diwujudkan bagi menghalang amalan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

Walau bagaimanapun, katanya, pelbagai alasan diberikan berbeza dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 pada November 2012.

“Rupa-rupanya, ada pelan khianat. Tahniah untuk negeri Pulau Pinang, negeri pertama luluskan Enakmen Anti Lompat Parti.

“Dua ADUN Bersatu Pulau Pinang kalau nak lompat dan bikin drama macam Exco DAP (Melayu) di Melaka, alamat hilang kerusi dan PRK akan diadakan semula bagi memperbaharui mandat.

“Pulau Pinang juga yang ke hadapan, negeri ini diperintah oleh siapa, ya?” soalnya dipetik dari Facebook beliau.

Aiman Athirah mengingatkan pemimpin-pemimpin politik menjadi contoh rakyat jelata.

“Mandat pilihan raya pun mereka boleh curi. Dulu ada pemimpin parti Islam kecam sungguh, sekarang ini senyap. Dapat kerajaan cara hina pun, hinalah. Apa mereka peduli,” bidasnya lagi.

Enakmen tersebut bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan ADUN, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokrasi.

Ia memperuntukkan mana-mana ADUN dipilih sebagai calon sesebuah parti politik perlu mengosongkan kerusinya, jika melepaskan, dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa alasan.

Selain itu, Seksyen 14 A Enakmen berkenaan memperuntukkan ADUN yang bertukar parti perlu mengosongkan kerusinya, selain ADUN bebas juga perlu berbuat demikian jika menyertai sesebuah parti politik di negeri itu.