Malaysia Dateline

Giat amalkan jarak sosial bukan perintah berkurung, seru Dr Dzulkefly

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan bahawa Malaysia kini berada dalam situasi kritikal yang memerlukan tindakan tepat perlu diambil.

Beliau yang menerajui kementerian kesihatan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), berkata, Malaysia perlu melaksanakan langkah-langkah pengurangan secara mitigasi untuk membendung pandemik tersebut.

“Malaysia dalam keadaan kritikal. Perlu langkah betul pada masa yang betul.

“Segera laksanakan langkah-langkah pengurangan mitigasi tetapi teruskan juga langkah-langkah pembendungan untuk meratakan lengkung epidemik.

“(Amalan) menjauhkan diri secara sosial (social distancing) perlu diperhebatkan seperti Singapura dan Korea.

“(Tetapi) bukan model lockdown (perintah berkurung) seperti China dan Itali,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Dalam masa sama, Pengarah Strategi AMANAH itu turut menyarankan empat langkah yang boleh diambil bagi membendung serangan wabak berkenaan.

“Pertama, duduk di rumah kecuali mesti melakukan kerja-kerja yang perlu atau melawat klinik.

“Kedua, batal atau tangguh sebarang perhimpunan yang membabitkan lebih 50 orang.

“Ketiga, majikan perlu menggalakkan agar kakitangan bekerja dari rumah.

“Keempat, sekolah perlu lanjutkan cuti manakala universiti lakukan pengajaran melalui talian,” kata Dr Dzulkefly itu lagi.