Gigih kerja, asingkan pendapatan, Atu Zero teruskan khidmat pengurusan jenazah secara percuma

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya ramai ada niat baik untuk membantu mereka dalam kesusahan namun tak semua berkemampuan.

Umum tahu kos pengurusan jenazah bukanlah murah dan ada yang tak mampu membayar ia maka tak terkejut jika ada yang membuat perkhidmatan tersebut secara percuma.

Disebabkan itu pelawak Atu Zero masih meneruskan perkhidmatan pengurusan dan kenderaan jenazah secara percuma untuk penduduk di kawasan Kudat, Sabah

Menurut Harian Metro, Atu menyediakan perkhidmatan tersebut selepas berdepan dugaan apabila tidak mempunyai kewangan mencukupi suatu ketika dulu.

“Ini perkhidmatan percuma yang saya sediakan di sana tanpa saya ambil keuntungan. Dulu, saya pernah berada situasi wang tidak mencukupi untuk menguruskan jenazah.

“Ia beroperasi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Sebelum ini, kami sediakan kelengkapan, tapi sekarang dah ada kenderaan jenazah,” katanya.

Malah dia turut mengasingkan pendapatannya untuk disalurkan kepada perkhidmatan yang dilaksanakan secara percuma serta menghasilkan lagu bersama abangnya Sharif dan Syaiful untuk membantunya.

“Mana-mana hasil pendapatan saya, saya akan asingkan beberapa jumlah untuk perkhidmatan pengurusan jenazah.

“Permintaan tinggi, tapi bekalan kurang. Jadi, kami buka ruang baharu untuk kekal relevan dalam industri.

“Jadi, dengan adanya lagu ini, mungkin akan ada jemputan persembahan selepas ini. Jadi, dapat mencari pendapatan untuk perkhidmatan percuma ini,” tambahnya.

Baca juga: “Tak terkira jumlah pesakit dia bantu” – Warga emas ini dah derma darah lebih 400 kali!