Malaysia Dateline

Gila berpolitik selamatkan PN yang darurat

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan yang gila berpolitik tanpa menghiraukan ancaman penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan tebuk atap yang menumbangkan kerajaan yang sah daripada mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mac lalu berterusan gila berpolitik.

“PN terus gila berpolitik dengan menumbangkan kerajaan negeri Melaka, Johor dan Perak yang sah.

“PN juga terus rakus berpolitik hendak memberikan sebuah negeri kepada Pas sebagai Menteri Besar dengan menumbangkan pula negeri Kedah yang sah.

“Kegilaan politik mereka berterusan dan menggila tanpa menghiraukan peningkatan Covid-19 di Sabah dengan asakan sehingga terbubar Dewan Undangan Negeri seterusnya pilihan raya negeri Sabah,” ujarnya.

Dr Zaidi berkata, kerajaan PN pada masa ini tergugat dan tidak stabil ekoran perbalahan antara Umno dan Bersatu sehingga Umno mengisytiharkan gencatan politik kononnya untuk meredakan perbalahan.

Namun begitu tegasnya, PN yang hanya mempunyai dua kerusi majoriti di Parlimen seperti ‘telur di hujung tanduk’ cuba menggunakan darurat demi menyelamatkan kuasa mereka.

“PN yang berada dalam keadaan darurat tanpa menyedari kegilaan politik yang tidak menghiraukan pemularan pandemik Covid-19,” katanya lagi.