Malaysia Dateline

Giliran Ahli Dewan Negara pula bakal berhimpun pagi nanti

Ahli-Ahli Dewan Negara akan ke Parlimen dalam jam 9.30 pagi nanti selepas 107 Ahli Parlimen Pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka siang tadi.

Menerusi satu makluman diperoleh media, tindakan mereka itu susulan penangguhan hari pertama sidang khas Dewan Negara atas sebab-sebab yang tidak dapat diterima Ahli-Ahli Dewan Negara.

“Rakan-rakan media boleh tunggu di simpang sebelum jambatan Parlimen, tetapi jika tidak dibenarkan masuk dicadangkan tunggu di Bendera Malaysia Dataran Merdeka,” kata makluman itu.

Mesyuarat Khas Dewan Negara sepatutnya berlangsung 3 hingga 5 Ogos ini tetapi ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak dinyatakan.

Penangguhan mesyuarat khas itu ekoran perkembangan penularan jangkitan Covid-19 apabila Kementerian Kesihatan (KKM) berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

Menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara bertarikh 1 Ogos lalu, penangguhan persidangan mesyuarat khas itu selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.