Giliran gambar Najib pula dipotong

 

Gambar Najib di poster gergaji di restoran Jamal sudah dipotong.

Sekali bah sekali pantai berubah. Barangkali itu perumpamaan yang sesuai kepada situasi sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebelum Umno-BN kalah teruk di tangan lebih 14 juta pengundi, gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dilarang terpampang di papan iklan sehingga digunting dan dicat.

Namun, pasca pesta demokrasi 9 Mei menyaksikan giliran gambar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula dikerat.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati poster dalam Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang dikendalikan Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sudah dipotong.

Lokasi poster itu digantung dekat deretan tempat cuci pinggan. Akibat dikerat, tinggal hanya tertera ‘Negaraku Malaysia’ pada poster bersaiz gergasi itu.

Poster tersebut mulanya mengabadikan gambar-gambar Najib ketika mengunjungi restoran itu pada 28 November tahun lalu.

Najib pernah datang ke restoran jamal untuk menikmati hidangan yang disediakan di situ.

Restoran di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang menghidangkan makanan tengah hari secara percuma itu juga didapati hanya menyediakan satu berbanding dua stesen agihan makanan sebelum ini.

Hidangan sekarang kerap ikan goreng berbanding pelbagai juadah sebagaimana foto yang diambil pada 27 Oktober 2017.

Beberapa pengunjung pula memberitahu menu makanan juga semakin tidak mewah berbanding beberapa bulan dibuka sejak 16 Oktober tahun lalu.

Jika ketika itu, pengunjung dijamu dengan hidangan ala kenduri kahwin berupa nasi minyak atau nasi biasa serta pelbagai jenis lauk, sekarang menu itu sudah tiada lagi.

Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ani, 43, memberitahu restoran itu kini lebih kerap menghidangkan ikan goreng tidak lagi menunya bergilir dengan ayam atau daging seperti sebelum ini.

Ani juga berkata, menu sampingan berupa kuih, potongan buah atau bubur kacang hijau juga sudah lama tidak lagi dapat dinikmati.

Pemerhatian juga mendapati pengunjung dihidang dengan nasi biasa, ikan masak kicap, telur goreng hancur dan masakan tauge dengan daun kucai sahaja.

Jamal kelmarin memberitahu masih kekal dan setia dalam Umno pernah memberitahu restoran itu memberi makanan percuma kepada 1,000 rakyat Malaysia pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad selama tiga tahun.

Walau bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada restoran itu akan terus dibuka sehingga tahun 2020 apabila buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara, BN kalah teruk dengan hanya menang 78 daripada 222 kerusi Parlimen pada minggu lalu.27

CATEGORIES
TAGS