Ginie Lim tempelak Azmin, jangan jadi alat perasuah

Oleh NASUHA RAHMAN

Bekas ADUN Machap Jaya Ginie Lim hari ini menempelak Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali yang disifatkan kehabisan modal politik.

Ginie yang didakwa Azmin digugurkan kerana menyokong beliau berkata, PN sudah kehabisan modal dan wajib ditolak apabila cuba mengalihkan fokus daripada isu rakyat.

Jelas Ginie, kesetiaan seorang aktivis reformis adalah pada prinsip perjuangan parti, bukan kepada individu.

“Saya menolak dengan tegasnya tindakan “Langkah Sheraton” kerana bersekongkol dengan kuasa kleptokrat dan perasuah yang telah pun ditolak oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum,” kata beliau.

Ginie berkata, meskipun Azmin pernah menjadi Timbalan Presiden PKR, namun amat menyedihkan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan politik pelbagai kaum dan melawan rasuah lebih 20 tahun tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada acuan parti perkauman dan perasuah.

“Adalah lebih baik Azmin menyedari partinya Parti Pribumi Bersatu tidak lagi relevan untuk masa depan tanahair kita.

“Sepatutnya beliau kembali ke halatuju yang betul daripada membiarkan dirinya terus menjadi alat perasuah,” ujarnya lagi.

Katanya, Walaupun beliau tidak bertanding dalam Pilihanraya Negeri Melaka kali ini, beliau tetap komited dengan agenda perjuangan Pakatan Harapan, serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam politik tanahair di bawah pimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya meminta agar semua pengundi Melaka mengambil pendirian yang tegas, demi kemajuan dan keharmonian negeri kesayangan kita.

“Tolong keluar mengundi pada 20 Nov untuk kembalikan pentadbiran kerajaan yang stabil dan prihatin.

“Pertahankan mandat rakyat sepertimana dalam Pilihan Raya Umum 2018. Itulah hasrat kita,” katanya.

Semalam, Azmin Ali menyentuh soal dalaman parti lamanya iaitu PKR yang tidak mencalonkan penyandang kerusi DUN Machap Jaya, Ginie Lim yang didakwa berpihak kepadanya.

Ketika lawatan ke Machap Jaya Azmin berkata dia sedih dengan keputusan PKR untuk menggugurkan Lim dan berharap dia akan meneruskan perjuangan.