Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) tidak menafikan dakwaan kes liwat melibatkan penghuni rumah amal di bawah naungannya namun menegaskan ia hanya berlaku membabitkan segelintir individu sahaja.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook milik organisasi itu pada pagi Sabtu.
Menurut Nasaruddin, adalah tidak wajar apabila pihak berkuasa menahan kesemua 402 kanak-kanak dan remaja untuk saringan serta keterangan berikutan kesalahan liwat hanya dilakukan segelintir individu.
Turut membuat pengakuan bahawa GISBH ada melakukan kesalahan daripada segi perundangan, Nasaruddin bagaimanapun tidak memberikan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Nasaruddin juga berpendapat bahawa pihak berkuasa seharusnya memberikan nasihat ataupun mengadakan perbincangan dengan pihak GISBH terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Saya bukan mahu menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke? Sesuatu perkara yang mengancam ini cubalah dibincangkan dahulu.
“Ini tangkap lebih 400 (kanak-kanak dan remaja yang tinggal di rumah amal dikaitkan dengan GISBH), mereka tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya.
“Memang liwat itu ada, tetapi satu dua (kes), kenapa dirangkumkan semua hasil itu? Malah kata (berlaku) memperdagangkan manusia dan mengeksploitasi kanak-kanak. Ia (tangkapan) berlaku terlalu pantas, tiada perundingan,” katanya.
Namun dalam perkongsian sama, Nasiruddin turut menyangkal beberapa tuduhan termasuklah dakwaan kanak-kanak terbabit dididik untuk meliwat dan penggunaan ‘air berkat’ yang direndam bulu serta kaki.
Jelasnya, pihaknya kesal dan sedih dengan tuduhan tanpa bukti yang tidak berasas dan amat jijik itu sehingga menimbulkan kecaman serta tohmahan terutamanya dari pengguna media sosial terhadap GISBH.
Pemimpin organisasi itu turut mendakwa tuduhan sedemikian adalah bentuk fitnah bertujuan untuk menjatuhkan perniagaan syarikatnya yang memasarkan produk Islam selain memiliki sekitar 20 cawangan rumah amal.
Justeru itu, pihaknya merayu sumbangan daripada orang awam untuk menampung khidmat peguam yang bakal dilantik GISBH bagi memperjuangkan kebenaran dan menuntut keadilan.
“Saya bukan nak simpati, tetapi kita sebagai orang Muslim dalam negara Islam yang mempunyai masyarakat perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan. Kenapa berlaku macam ini, malulah kita dengan orang bukan Islam.
“Kerana kita sesama Islam berbalah sedangkan ia boleh dirunding. Jadi saya mengharapkan tuan puan tolonglah kami untuk bayar peguam, saya tidak malu minta. Kita lawan demi kebenaran dan kita nak tunjukkan (kebenaran).
“Kenapa semudah itu (tuduhan) dibuat tanpa berunding. Kami tidak menyakitkan orang dan ini sangat sedih.” Ujarnya dalam kenyataan rasmi untuk menjelaskan isu tohmahan terhadap GISBH itu.
Baca juga: Generasi sekarang hilang ‘common sense’, tak tahu ibu bapa tak boleh ikut masa temu duga