Malaysia Dateline

GLC, agensi, jabatan kerajaan jangan laksana tugas secara ‘silo’

Semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini diminta bekerja bersama-sama dan bukan hanya melaksanakan tugas secara sendirian atau ‘silo’, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata semua GLC, agensi dan jabatan kerajaan mempunyai peranan untuk berbincang mengenai tugas yang perlu dilaksanakan agensi masing-masing.

“Cumanya seperti yang saya katakan tadi, jangan pula dalam mesyuarat itu masing-masing cuba bersikap untuk menolak tanggungjawab kepada agensi yang lain.

“Sewajarnya mesyuarat itu membincangkan mengenai kelompongan yang boleh diisi oleh agensi atau jabatan terlibat dan bukannya saling mengelak daripada menjalankan tugas,” katanya dalam ucaptama Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2019 di Hotel Kinta Riverfront hari ini.

Ahmad Faizal berkata Kerajaan Negeri juga mahu GLC terlibat secara langsung dalam mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan anak Orang Asal yang diyakini mampu mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Setakat ini hanya ada dua GLC yang menyambut hasrat itu iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

“Setelah menanti selama tujuh bulan sejak dari tarikh saya menguar-uarkan hasrat itu kepada media, cuma ada dua sahaja GLC yang menyambut hasrat itu.

“Selain yang dua ini, tiada langsung mana-mana GLC lain yang datang dan menawarkan diri kepada saya untuk menyambut hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah sekiranya keuntungan yang GLC peroleh dikongsi bersama masyarakat di perkampungan Orang Asal di Sungai Siput, Gerik serta lereng-lereng jalan berhampiran Simpang Pulai.

“Kosnya bukan tinggi mana pun, malah kerja yang perlu dilakukan pun tidak banyak. Jadi saya harap jika ada usaha kerajaan yang memerlukan kerjasama GLC demi kebaikan rakyat selepas ini, mohon diberi perhatian tanpa perlu saya hubungi ahli-ahli lembaga pengarah GLC di Perak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menggesa kakitangan kerajaan supaya mengurangkan birokrasi dan membantu sesiapa sahaja yang datang untuk berurusan di kaunter jabatan kerajaan.

“Bab birokrasi dalam berurusan ini, bukan saja terjadi kepada kebanyakan orang, malah kepada diri saya sendiri, perkara ini baru sahaja berlaku tidak sampai sebulan lepas, ketika berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan, saya diberitahu urusan tersebut tidak dapat diproses kerana pegawai bertanggungjawab bercuti selama dua minggu.

“Bagi saya perkara sebegini betul-betul mengarut, itu kena pada saya sendiri, tak apalah kerana urusan itu dibantu oleh pegawai.

“Persoalannya, bagaimana dengan makcik, pakcik yang sudah berusia emas dan tidak berpelajaran, yang datang jauh dari kampung, mungkin bersusah payah menaiki bas atau menunggang motosikal dalam keadaan hujan mahupun panas untuk ke pejabat jabatan itu?,” tegasnya.

— BERNAMA