Malaysia Dateline

GMPN gesa polis bertegas ke atas ugutan simbah asid menteri agama

Gerakan Memartabat Pejuang Negara Malaysia (GMPN) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang panel dalam forum Nothing To Hide yang didakwa mengugut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Presidennya, Mejar Razali Zakaria menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap panel tersebut yang mengugut untuk menyimbah acid ke wajah menteri itu dalam satu forum yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook dua hari lalu.

“Wawancara tersebut melibatkan empat orang panel yang mengeluarkan ayat kecaman dimana salah seorangnya telah mengeluarkan perkataan ugutan dengan simbahan asid.

“Walaupun perkataan yang dikeluarkan itu secara spontan, tetapi ugutan terhadap menteri hal ehwal agama itu disaksikan seluruh rakyat Malaysia dan ini dilihat sangat berbahaya,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Razali menegaskan ugutan di media sosial tidak patut dijadikan bahan lawak atau sandiwara sambil mengingatkan bahawa fakta yang dikeluarkan itu dengan mudahnya akan menjadi bualan orang ramai.

Katanya walaupun kerajaan hari ini memberi kebebasan untuk bersuara, tetapi ugutan secara niat atau tidak, sama sekali tidak diterima kerana ia berbahaya terhadap individu yang dikecam.

“Jika menteri pun boleh diugut, apatah lagi rakyat biasa. Kita mahu perkara ini diberhentikan dan dijadikan pengajaran kepada pengamal media supaya lebih beretika dan mengikut peraturan,” katanya.

Beliau meminta pihak polis untuk melakukan siasatan terperinci berhubung isu ini supaya amalan mengeji dan mengugut ini tidak terus dibudayakan di kalangan pengguna media sosial.