GMPN lapor polis dakwa himpunan ummah provokasi untuk cetus perkauman

GMPN lapor polis dakwa himpunan ummah provokasi untuk cetus perkauman
Razali Zakaria (tiga dari kiri), Mohd Noor (dua dari kiri) dan Azizan Salleh (empat dari kiri) ketika sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini.

Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang merancang untuk mengadakan satu himpunan mendesak kerajaan membubarkan Parlimen.

Pengerusinya, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, himpunan yang didakwa dilakukan untuk membawa suara rakyat dan atas perpaduan Islam itu perlu dihalang dengan segera kerana dilihat sebagai satu provokasi yang bakal menyemarakkan lagi isu perkauman.

Beliau meminta supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas dengan tidak memberikan permit kebenaran mengadakan himpunan.

“Perancangan jawatankuasa nampaknya telah bergerak mengedarkan risalah-risalah berkenaan himpunan mereka. Kami nampak perhimpunan ummah ini sebenarnya didalangi parti pembangkang, menggunakan Wisma sebagai batu loncatan.

“Kita tengok India dengan himpunannya. Cina dengan himpunannya. Melayu pun dengan himpunannya juga. Sampai bila nak bersatu kalau semua bangsa buat himpunan yang akhirnya menjadikan negara kucar kacir. Lebih-lebih lagi sekarang isu perkauman sangat meruncing.

“Jadi kita minta dari sekarang, pihak polis dan SKMM ambil tindakan segera. Jangan biarkan himpunan ini dilaksanakan dan jangan bagi mereka permit untuk mengadakan himpunan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Skuad Prihatin Kepong, Datuk Mohd Noor Ali Akhbar; Pengerusi Gerakan Reformasi Angkatan Tentera Malaysia, Azizan Salleh; dan Pengerusi Cahaya Haluan Amanah Insan Malaysia, Abdul Hamid Chai.

Sementara itu, Mohd Noor mengingatkan bahawa kerajaan seharusnya diberikan tempoh sehimhha lima tahun mentadbir negara dan tidak seharusnya berlaku isu desakan pembubaran parlimen dan mempercepatkan tempoh PRU.

Jelasnya, perhimpunan itu hanya akan mencemarkan ketenteraman masyarakat yang akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara.

“Sepatutnya, kita perlu ikut tempoh dan tak perlu desak kerajaan bubarkan parlimen sebelum tamat tempohnya. Kalau buat (himpunan) macam tu, kerajaan memang tak akan bubarkan. Mereka ini sengaja mahu gembar-gemburkan isu.

“Jadi saya merayu kepada pihak berkuasa supaya ambik langkah tegas memastikan perhimpunan Ummah itu tidak dilaksanakan dan jika dilaksanakan, hendaklah dikawal dengan undang-undang ketat supaya tak jadi perhimpunan yang akan mencetuskan huru-hara,” ujarnya.

Mengulas isu sama, Azizan Salleh berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang naik kerana demokrasi, seharusnya turut turun melalui demokrasi.

“Kenapa tak sampai masa, nak rentap kerajaan untuk turun. Mana mungkin kerajaan yang dipilih oleh rakyat nak terjun macam tu sebab undang-undang memperuntukkan PH jadi kerajaan untuk tempoh 5 tahun. Mereka naik secara demokrasi, turun pun perlu secara demokrasi,” katanya.