Gobind janji eratkan kerjasama dengan media

Gobind janji eratkan kerjasama dengan media

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berjanji akan bekerjasama erat dengan pihak media ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat.

Ketika berucap kepada para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena lawatan sulung beliau ke agensi berita itu hari ini, Gobind berkata beliau sentiasa bersikap terbuka dan sesiapa juga boleh menghubunginya secara peribadi menerusi telefon bimbitnya.

“Saya berdiri di sini sebagai menteri anda dan saya mahu anda semua bersikap terbuka dengan saya. Beritahu saya bagaimanapun kita dapat melakukan perbaikan dan bagaimana keadaannya kini.

“Kita boleh bebaskan diri kita daripada belenggu masa lalu dan mara ke arah pemberitaan yang lebih gemilang,” kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Kebebasan media adalah aspek utama pembaharuan yang akan dilakukannya.

Beliau berkata media negara ini perlu diberi lebih kebebasan untuk membuat liputan termasuk mengkritik kerajaan.

“Media merupakan suara kepada rakyat dan kerajaan perlu bersedia menerima kritikan untuk kita boleh lakukan pembaharuan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama menteri di Bernama Radio, di sini hari ini.

Beliau melakukan lawatan pertamanya ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini sejak dilantik sebagai menteri KKMM pada 21 Mei lepas.

Gobind berkata walaupun media diberi kebebasan, kerajaan akan memastikan mereka mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Apa yang perlu ditumpukan adalah rakyat diberi ruang melontarkan pandangan termasuk pihak sebelah sana (pembangkang) juga perlu diberi ruang supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha menaik taraf infrastruktur agensi media negara ini agar mampu bersaing dengan media antarabangsa.

“Kita kena pastikan infrastruktur adalah cukup untuk bersaing dengan media antarabangsa seperti CNN. Kita juga perlu menumpukan usaha untuk media kita mempunyai tarikan penonton. Kita akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan sentiasa mendengar setiap rintihan dan pandangan warga media dalam usaha pembaharuan dan membangunkan media negara ini.

“Minggu lalu saya telah bertemu dengan warga kementerian dan mereka seronok dengan pembaharuan yang akan kami lakukan. Saya memberikan jaminan akan sentiasa dengar rintihan mereka untuk sama-sama memastikan kementerian ini maju ke depan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)