Gobind lawat tapak projek NFCP di Melaka

Gobind lawat tapak projek NFCP di Melaka

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini melakukan lawatan ke Felda Tun Ghafar Kemendor dan Pejabat Pos Jasin di sini bagi meninjau perlaksanaan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di kawasan ini.

Lawatan bersempena pelancaran projek rintis NFCP yang bakal menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Beliau, yang tiba di Felda Tun Ghafar Kemendor, pada 9.06 pagi disambut Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Dalam lawatan itu, Gobind meluangkan masa hampir sejam bagi mendengar taklimat Pengarah Projek NFCP, Muhammad Faisal Sidek dan melihat sendiri lokasi projek rintis itu yang akan dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebelum mengakhiri sesi lawatan kerjanya di Felda Tun Ghafar Kemendor, Gobind turut beramah mesra dan bertukar pendapat mengenai projek NFCP bersama penduduk Felda berkenaan.

Gobind kemudian melakukan lawatan ke sebuah lagi tapak projek rintis NFCP iaitu Pejabat Pos Jasin dan ketibaan beliau kira-kira pukul 10.15 pagi disambut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor.

Pada lawatan itu, Gobind meluangkan masa melawat gerai perkhidmatan e-consignment, Pos Laju EziBox dan National Digital Id bersempena Hari Terbuka Pos Malaysia yang bertemakan Digital dan e-Dagang selain menguji kelajuan fiber optik.

Pelaksanaan NFCP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diteraju Gobind, yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Selain Felda Tun Ghafar Kemendor, dua lagi lokasi di sini dipilih sebagai projek perintis NFCP iaitu Taman Merbau dan Taman Maju.

Seterusnya, beliau dijadual ke Majlis Perbandaran Jasin bagi menghadiri Majlis Pelancaran Projek Rintis NFCP yang dijangka berlangsung pukul 11 pagi ini.