Malaysia Dateline

GoJek: Piawaian tersendiri akan diwujudkan demi keselamatan penumpang

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, piawaian yang tersendiri akan diwujudkan berkaitan keselamatan penumpang GoJek, terutamanya membabitkan golongan wanita.

Sebagai contoh beliau berkata, di negara-negara lain juga terdapat pengangkutan ‘pink version’ atau khusus disediakan untuk golongan wanita.

“Oleh itu, golongan wanita akan mempunyai pilihan ketika mahu menggunakan pengangkutan teksi motosikal tersebut.

“Memang akan ada piawaian yang tersendiri dalam pelaksanaan pengangkutan GoJek ini. Kita tunggu ia dibentangkan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Bicara Kemerdekaan, di Akademi Kenegaraan, hari ini.

Beliau mengulas demikian sebagai jawapan balas kepada pertanyaan wartawan berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa pengangkutan GoJek dilihat membahayakan penumpang wanita.

Namun, Ahli Parlimen Muar itu berkata, sebaiknya soalan tersebut diajukan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai soal keselamatan penumpang teksi motosikal itu.

Memetik laporan BH pada 18 Ogos lalu, Syed Saddiq berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Rabu lepas, Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.