Malaysia Dateline

Golongan agama, mufti diseru teruskan pengisian ceramah, khutbah perangi rasuah

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyeru golongan agama dan para mufti untuk meneruskan ceramah-ceramah dan Khutbah Jumaat yang memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memerangi rasuah.

Beliau berkata, cadangan supaya khutbah Jumaat dan kuliah agama untuk membicarakan soal rasuah dapat dijadikan sebagai platform untuk mendidik masyarakat agar terhindar dari masalah sosial itu.

Menurutnya, semua pihak harus melihat secara lebih menyeluruh bukan hanya untuk tempoh jangka panjang, tetapi bagaimana untuk negara mengatasi permasalahan tersebut dalam jangka masa yang pendek.

“Saya sangat gembira dengan cadangan supaya khutbah Jumaat dan kuliah agama membicarakan soal rasuah. Ini boleh menjadi satu platform bagi mendidik masyarakat terhindar dari rasuah.

“Saya menyambut baik usaha dan cadangan murni ini. Namun begitu, semua pihak harus faham bahawa kita perlu memerangi rasuah dengan seruan di mimbar masjid ini kerana kita sedang berdepan dengan kerajaan yang sangat korup.

“Kita berdepan dengan keadaan di mana pemimpin negara hari ini adalah pemimpin yang terdedah dengan amalan rasuah yang makin menjadi-jadi,” tegasnya dalam satu klip video di Facebook hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam khususnya di negeri itu untuk memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Selangor pada Jumaat.

Baginda berpandangan, tajuk khutbah Perasuah Perosak Agama Bangsa amat tepat dan terperinci serta boleh menjadi peringatan memandangkan situasi rasuah di negara ini yang kian meruncing.

Pada masa sama, beberapa pihak termasuk Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut menyarankan agar pendekatan memberi kesedaran berhubung isu rasuah dapat ditekankan dalam Khutbah-khutbah Jumaat.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena membangkitkan semula rakaman audio kontroversi yang pernah terbongkar tahun lalu berhubung rancangan Muhyiddin meraih sokongan Ahli Parlimen dengan tawaran sebagai menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut Mahfuz, rakaman itu jelas bahawa mereka berhasrat membeli pemimpin politik khususnya Ahli Parlimen sama ada dari Umno mahu pun pemimpin agama dari Pas.

“Keadaan semakin membimbangkan apabila pemimpin-pemimpin agama yang menyertai politik seperti mana berlaku dalam Pas, telah bersedia untuk dijual beli oleh Muhyiddin.

“Saya mengharapkan semua pihak untuk melihat bahawa pentingnya lakukan pelan tindakan bukan sahaja untuk tempoh jangka panjang, tetapi jangka pendek ini kita mesti atasi dengan membebaskan negara dari kerajaan yang dibina atas amalan rasuah,” katanya lagi.