Golongan B40 digalakkan ceburi industri sarang burung walit

Golongan B40 digalakkan ceburi industri sarang burung walit

Kementerian Pembangunan Usahawan menggalakkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menceburi industri sarang burung walit sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, melalui perusahaan sarang burung walit ini ia mampu memberi pulangan lumayan antara RM1,500 hingga RM2,000 seminggu kepada golongan B40.

Beliau berkata pihaknya bersedia membantu golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai inisiatif seperti bantuan mesin untuk membuang bulu sarang burung walit dan akademi bagi memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan perusahaan itu.

“Setakat ini masih belum ada lagi bumiputera yang berani mengetengahkan industri sarang burung walit secara besar-besaran sehingga menembusi pasaran luar.

“Kementerian sentiasa bersedia untuk membantu setiap kelemahan dalam kalangan pengusaha, dan membantu untuk memperkasakan lagi hasil keluaran sehingga mampu memenuhi syarat eksport ke luar negara seperti yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelancaran Usahawan Bersatu Negeri Kelantan di sini, malam tadi.

Mohd Redzuan berkata kementerian juga akan terus membantu golongan B40 mendapat bimbingan dalam industri ini dengan adanya rangkaian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).