Golongan LGBT tidak wajar diberi peluang pegang jawatan dalam kerajaan, kata MDN

Golongan LGBT tidak wajar diberi peluang pegang jawatan dalam kerajaan, kata MDN

Golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT) tidak wajar diberikan peluang untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, kata Prof Emiritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) itu berkata, ini kerana golongan LGBT disifatkan sebagai melakukan amalan yang bertentangan dengan norma masyarakat umum dan agama.

Bagaimanapun ujarnya, masyarakat perlu menghormati golongan ini sebagai  individu yang tidak boleh diperkotak katikkan kerana kecenderungan naluri yang berbeza dalam norma kehidupan manusia.

“Amalannya (LGBT) bertentangan dengan norma masyarakat umum. Oleh kerana itu individu sebegini tidak wajar diberi peluang untuk memegang jawatan awam.

“Tapi secara peribadi, kita perlu hormati dia sebagai seorang manusia,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dr Mahmood Zuhdi diminta mengulas mengenai kecaman hebat yang diterima  oleh Numan Afifi bekas pegawai akhbar sementara kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Numan yang memperjuangkan hak golongan LGBT itu menerima kecaman apabila namanya. telah disabotaj pihak tertentu, yang diperkenalkan sebagai ‘Setiausaha Akhbar (SUA)’ kepada menteri muda itu di laman web rasmi kementerian.

Sebelum ini, pelantikan Numan turut dikritik pengguna media sosial dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam kerana Numan juga Presiden Kempen Pelangi pernah menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program ‘Iftar Gay’ pada Jun 2017.

Program itu dikecam pelbagai pihak kerana penganjur didakwa seolah-olah mempermainkan hukum Allah.

Aktiviti LGBT perlu diperhalusi

Menjelaskan lanjut, Dr Mahmood Zuhdi berkata, pembabitkan golongan LGBT ini dalam aktiviti mereka perlu diperhalusi lagi.

“Kita cuba perhalusi kita kata mungkin kita boleh pergi setakat tidak menyokong aktiviti mereka, tetapi menghormati golongan LGBT ini sebagai manusia yang tidak diperkotak-katikkan.

“Kehalusan ini jarang terdapat dalam fatwa negara kita dan negara luar.

“Seorang LGBT tentulah amalkan sesuatu yang tidak bagus dan amalan haram dalam agama Islam yang perlu dikutuk.

“Tetapi sebagai seorang manusia kita harus menghormati dia sebagai manusia.

“Kadangkala kita beri pandangan melupakan aspek halus seperti ini,” terang Dr Mahmood Zuhdi.

Beliau berpandangan golongan LGBT ini tidak seharusnya mendedahkan amalan songsang mereka kepada umum bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang atau dicemuh masyarakat.

“Dalam hadis Rasulullah banyak diceritakan bahawa sesiapa yang kita tahu amalkan hal perzinaan dan sebagainya, hukumnya adalah sunat bagi kita tutup rahsianya

“Jika mereka buka rahsia mahkamah akan diambil tindakan. Di Peringkat fatwa kita wajib tutup. Itu cara Islam hormati masyarakatnya.

“Keputusan yang akan dibuat oleh agama Islam akan ambil pelbagai aspek dan tidak begitu mudah untuk menghukum,” ujarnya lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote