Malaysia Dateline

Golongan muda bakal hilang kerja, rasional darurat Muhyiddin perlu ditolak

Pemuda Pakatan Harapan mendesak kerajaan membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan ekoran pelaksanaan darurat yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Isnin lalu.

Dalam kenyataan bersama Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua DAPSY Howard Lee dan Ketua AMK Akmal Nasir berkata, jika tidak dilakukan pelan jangka pendek pengisytiharan darurat ini hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyidin dan ianya perlu ditolak secara total.

Katanya, rasional untuk memohon darurat sebagaimana yang telah diumumkan ‘Perdana Menteri minoriti’ telah memberi kesan terutama sekali dalam aspek ekonomi rakyat dan negara.

“Tempoh darurat yang bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara dengan baik.

“Sebaik sahaja diumumkan, pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum.

“Daripada persepktif matawang, dolar US kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27% lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061,” katanya.

Bahkan katanya indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45% berbanding hari sebelumnya.

“Sekirannya tiada pemulihan yang konsisten, ianya bakal memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Kadar pengangguran yang kini mencatat sekitar 4.8% juga dijangka terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan sebahagian besar daripada angka ini terdiri daripada golongan belia.

Malahan, sebelum COVID-19 melanda negara pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus, datang daripada berpendidikan tinggi.

Pada masa sama, tegas beliau, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara pada 27 Jun 2020.

“Lebih menyedihkan, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah,” katanya.