Malaysia Dateline

Golongan nelayan di  Kampung Semera  mohon sertai AMANAH

Golongan nelayan di Kampung Semera, Sadong Jaya bakal menubuhkan Cawangan Parti AMANAH Negara dalam masa terdekat ini.

Menurut Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak Fadillah Sabali, penubuhan cawangan di kampung itu adalah permohonan daripada para nelayan di kampung terbabit.

Katanya, setakat ini sambutan yang diterima daripada penduduk di Kampung Semera yang rata-ratanya pekerjaan nelayan untuk menjadi ahli parti AMANAH amat menggalakkan.

“In shaa Allah…dalam masa terdekat ini, kita akan menubuhkan AMANAH Cawangan di kampung terbabit.

“Ini adalah permohonan daripada mereka (penduduk) yang datang berjumpa dengan saya sekali gus akan mendaftarkan diri sebagai ahli parti,” jelasnya ketika ditemui semasa mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Kampung Semera, Sadong Jaya hari ini.

Sebagai rekod, jumlah keseluruhan ahli-ahli nelayan di Kampung Semera yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) ialah seramai 384  orang.

Beliau menambah, bukan setakat golongan nelayan di Kampung Semera yang memohon untuk menubuhkan cawangan, malah di kampung-kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya turut berbuat demikian.

Fadillah menjelaskan, AMANAH Sarawak akan bekerja keras bagi memastikan penubuhan itu berjaya dilaksanakan sebelum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti.

“Saya yakin dengan tertubuhnya beberapa cawangan di sini, ia akan dapat membantu kita dalam membangkitkan isu-isu berkaitan nelayan ke peringkat atasan.

“Dan semoga perjuangan kita ini akan membawa kejayaan bersama untuk PRN12 kelak,” ujar beliau.

Pada perjumpaa itu, beliau turut dimaklumkan penduduk kampung tentang keadaan jeti yang semakin usang dan berbahaya kepada para nelayan.