Golongan OKU tidak seharusnya berkorban, kata Ras Adiba

Ras Adiba Radzi

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak seharusnya berkorban untuk membenarkan golongan transgender menggunakan tandas mereka.

Pengerusi dan Pengasas OKU Sentral, Ras Adiba Radzi berkata, tandas tersebut adalah hakgolongan OKU fizikal dan tidak sepatutnya digunakan oleh sesiapa pun kecuali mereka.

“Tandas untuk OKU tidak banyak disediakan, jadi diharapkan agar semua pihak dapat menghormati kemudahan yang disediakan ini hanyalah untuk OKU sahaja melainkan transgender tersebut juga mengalami kecacatan fizikal,” katanya ketika dihubungi Malaysia
Dateline hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan dibuat Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, berkata golongan transgender boleh menggunakan tandas OKU, sementara kerajaan memikirkan alternatifnya.

V. Murugeswaran

Mengulas perkara sama bagi Presiden Persatuan Damai OKU, V. Murugeswaran berkata, beliau berpendapat Fuziah Salleh kurang faham tentang isu ini sehingga boleh mengeluarkan penjelasan sedemikian.

“Pada saya golongan OKU tidak seharusnya terlibat sama dalam isu transgender ini, cukuplah dengan beberapa masalah seperti mengambil parkir OKU, orang normal menggunakan tandas
OKU tanpa rasa bersalah dan macam-macam lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, beliau berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan cepat tanpa menimbulkan lagi masalah lain.

Pada Isnin Fuziah dalam kenyataan dipetik berkata, menyarankan agar golongan transgender menggunakan tandas khas OKU sebagai langkah sementara sehingga masyarakat boleh menerima mereka.

“Penyelesaian terbaik” itu mengambil kira perasaan tidak selamat dan tidak selesa golongan perempuan apabila transgender memasuki tandas wanita, dan perasaan transgender apabila menggunakan tandas lelaki.

Beliau berkata demikian setelah ditanya media di lobi Parlimen berkaitan cadangan Mufti Perlis agar golongan transgender mengunakan tandas OKU.

Ini susulan kenyataan Menteri di JPM Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada minggu lalu, mengenai pengunaan tandas wanita untuk transgender selepas laporan berita itu mengundang kritikan orang ramai.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote