Malaysia Dateline

Golongan Pseudo-Islamis-Oportunis dan golongan Neofeudalis-Kapitalis disebalik Himpunan 8 Disember

 

Berdasarkan laporan akhbar-akhbar portal berita atas talian, tertera beberapa tajuk berita, “Abai pandangan mufti, Pas tegas mahu berhimpun” dan satu lagi “Pas tegas sertai himpunan bantah Icerd,” “Himpunan 8 Dis untuk ‘ajar’ menteri,” Semuanya berkaitan dengan kenyataan pihak yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan 8 Disember 2018.

Pada awalnya dikisahkan sebagai usaha menentang tindakan untuk meratifikasi Internarional Convention on the Elimination of all Forms of Racial Discrimination (ICERD) dan kemudiannya kini dijenamakan semula sebagai “perhimpunan kesyukuran kerana pembatalan ICERD,” juga dihebohkan sebagai “Himpunan Ummah Bersempena Kejayaan Membantah Ratifikasi ICERD”.

Namun timbul persoalan, disaat mereka ini begitu ghairah bersuara menentang ICERD yang dikatakan mengancam akan kestabilan sosial dan politik Melayu serta Islam itu, apakah mereka ini telah meneliti, mengkaji dan menganalisis keseluruhan 25 Artikel yang terhandung dalam dokumen ICERD tersebut?

Apakah mereka ini, khususnya dalam kalangan para pengikut UMNO dan PAS, benar-benar memahami akan segala ayat yang terkandung pada setiap artikel dalam konvensyen tersebut?

Sebaliknya, hanya satu cetusan sentimen ghairah secara membuta tuli, sekadar mengikut adu domba yang dirangsang oleh para agitator, tanpa mempunyai nilai kepedulian akal untuk berfikir secara analitikal.

Menerima apa sahaja yang dilontarkan oleh para agitator atas nama mendaulat perjuangan Melayu dan Islam. Sekiranya inilah situasinya, maka memperjelaskan piawai sebenar pemikiran, sikap, perangai serta watak yang membiak dalam diri kelompok pseudo-Islamis-oportunis.

Apa pun keadaannya, sesuatu alasan itu boleh diwujudkan, dicipta atau dicetuskan sebagai usaha untuk menghalalkan segala tujuan yang ditetapkan.

Apa sahaja alasan boleh direncanakan, asalkan segala kehendak dan matlamat pribadi dapat dicapai. Hakikatnya 1001 alasan boleh dicari asalkan dapat penuhi hajat yang dihajati, seumpama kisah 1001 malam.

Atas kedudukannya sebagai pseudo-Islamis-oportunis dan neofeudalis-kapitalis-cauvinis, Pas  dan Umno  boleh sahaja mencipta pelbagai alasan dalam cubaan mereka untuk menghalalkan segala tindakan untuk berhimpun pada 8 Disember 2018 tersebut.

Demokrasi sebenarnya memberi ruang kepada mereka untuk meluahkan apa yang ingin diluahkan, sama ada secara tersirat, mahu pun secara tersurat. Hakikatnya demokrasi masih hidup dan prinsip demokrasi masih terpakai.

Namun demikiran, biar pun beribu alasan dikemukakan dan dizahirkan, sebaliknya ia belum tentu mampu untuk menjustifikasikan akan hakikat kerelevanan serta kesahihan alasan tersebut untuk diterjemahkan sebagai tindakan yang perlu diabsahkan.

Dalam hal inilah, terserlahnya perangai “tipu daya” serta sifat hipokrit dan korup golongan pseudo-Islamis-oportunis, menjadikan sentimen agama untuk mengaut keuntungan politik, khususnya setelah mereka kecundang untuk menjadi “King Maker” dalam PRU14.

Persekongkolan antara pseudo-Islamis-oportunis dengan kelompok neofeudalis-kapitalis-cauvinis, menjadikan ICERD sebagai isu besar, hakikatnya sebagai satu cubaan serta usaha untuk menutup dan melindungi segala bentuk penyelewengan berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (IMDB), Tabung Haji, Felda dan isu-isu yang berkaitan dengan salah urus pengurusan dan pentadbiran negara.

Golongan pseudo-Islamis-oportunis ini telah pun begitu lama bertindak menjadi pelindung kepada golongan neofeudalis-kapitalis-cauvinis, lama sebelum PRU14 lagi.

Dalam isu yang berkaitan dengan IMDB, Tabung Haji dan FELDA golongan pseudo-Islamis-oportunis ini seringkali menunjukkan sikap komprominya dengan golongan neofeudalis-kapitalis-cauvinis.

Komentarnya seakan-akan senada, “kami berpuas hati dengan penerangan dan taklimat yang disampaikan dan usaha yang sedang dijalankan untuk memulihkannya”. Inilah nada yang diucapkan oleh para pemimpin pseudo-Islamis-oportunis.

Kedua-dua golongan pseudo-Islamis-oportunis dan neofeudalis-kapitalis-cauvinis, merupakan koruptor ketenatan untuk memulihkan imej dalam kalangan pengundi yang telah menolak mereka pada PRU14, mereka ini adalah antara makhluk machiavelli yang akan melakukan apa sahaja tindakan, bagi membolehkan mereka kembali berkuasa.

Penggabungan di antara keduanya, iaitu golongan pseudo-Islamis-oportunis dan golongan neofeudalis-kapitalis-cauvinis adalah satu pilihan yang tersedia, bagi membolehkan masing-masing pihak untuk terus wujud dalam dunia politik Malaysia pasca PRU14.

Kebimbangan besar kedua-dua kumpulan ini adalah ancaman undang-undang serta siri-siri pendakwaan terhadap segala bentuk salah laku yang mereka lakukan, khususnya sepanjang yang berkaitan dengan penyalahguanaan kuasa serta penyelewengan harta negara. Dalam hal ini, golongan pseudo-Islamis-oportunis, juga amat terkesan dengan penyaluran dana daripada IMDB, menjadi kedudukan mereka agak panas kesawanan dan menggelupur sakan.

*Penulis ada pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris.