Malaysia Dateline

Golongan Ruwaibidhah wujud dalam masyarakat Islam, kata pegawai tugas khas kepada Mujahid

Golongan Ruwaibidhah dapat digambarkan dengan kewujudan mereka hari ini yang mengaku sebagai alim ulama tetapi jahil terhadap ajaran Islam terutama dalam bentuk praktik keterbukaan.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ali Muda menyifatkan golongan tersebut hanya taksub kepada politik perkauman sehingga mengubah fahaman Islam yang suci menjadi kotor.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut yang merujuk kepada isu Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang dikecam hebat setelah menganjurkan program majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib bersama komuniti Sikh pada Selasa lepas.

“Mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ulama pada hari ini sebenarnya jahil terhadap ajaran Islam dalam bentuk praktik keterbukaan. Itulah gambaran golongan Ruwaibidhah yang hanya hebat bercakap tetapi dada kosong daripada ilmu yang sebenar sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis.

“Jika kita jahil terhadap sunnah Rasullah SAW dan para Sahabat selepasnya dalam hubungan dengan penganut agama lain, tidak usah kita menjadi jaguh Islam Melayu yang cuba mengubah ajaran Islam yang murni menjadi ajaran Melayu,” katanya.

Beliau turut memetik kisah Khalifah Umar yang melawat ke sebuah gereja di Syam dan hampir menunaikan solat di situ tetapi menolak untuk teruskan kerana khuatir umat Islam akan menganggap gereja itu sudah menjadi masjid dan mereka akan merampasnya.

“Jika Rasulullah SAW membenarkan orang bukan Islam solat di dalam masjid baginda, manakala Khalifah ‘Umar pula pernah menjamin survival gereja di Syam supaya tidak dirampas oleh umat Islam selepasnya, apalah sangat sekadar berbuka puasa di dewan sebuah rumah ibadat Sikh (Gudwara) atau pemimpin bukan Islam menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf.

“Tiada siapa dalam kalangan ulama Islam pernah mempertikaikan amalan dan tindakan keterbukaan Rasulullah SAW dan para Sahabat itu sebagai ancaman kepada akidah Islam atau pengaruh liberalisme,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid turut mengeluarkan kenyataan meminta umat Islam di negara ini tidak fobia dengan sebarang majlis yang diadakan di rumah ibadat agama lain selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, program seperti berbuka puasa anjuran Anggota Parlimen Johor itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana tujuan utama penganjuran majlis berkenaan adalah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah, katanya majlis itu diadakan di kawasan dewan dan bukannya dibuat di dalam tempat ibadat itu.

“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,”katanya.

Kenyataan tersebut telah dibidas oleh Setiausaha Agung Umno, Tan Seri Annuar Musa yang kemudiannya menggelar Mujahid sebagai menteri jahil dan sebagai orang yang tidak berkelayakan.

Malah, beliau turut menyarankan agar Dr Mujahid dengar kuliah , Ustaz Azhar Idrus.

“Apa maksud kamu supaya jangan takut? Tolong rujuk ulama sebab kamu bukan orang yang berkelayakan.

“Jahilnya menteri… sila ikuti kuliah Ustaz Azhar Idrus,” ciap bekas menteri kanan itu di Twitter, semalam.