Golongan seniman perlu  berada di barisan hadapan perjuangan rakyat, kata Zunar

Golongan seniman perlu berada di barisan hadapan perjuangan rakyat, kata Zunar

Golongan seniman di negara ini perlu menjadi kumpulan terakhir dalam situasi kegawatan negara untuk bersama berada di barisan
hadapan memperjuangkan nasib rakyat.

Kartunis politik Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque melontarkan pandangan ini percaya golongan seniman yang terdiri dikalangan pelukis, penyanyi, pelakon, pemuzik, dan sasterawan sekiranya gagal berbuat demikian, adalah golongan yang mementingkan diri sendiri.

“Golongan seniman perlu merapatkan diri mereka dengan pengikut mereka dalam karya seninya,ia satu kegagalan dalam sebuah perjuangan rakyat jika hanya mementingkan diri dan hasil kerja semata-mata.

“Setiap seniman perlu menzahirkan protes mereka terhadap sebarang isu yang membelenggu rakyat menerusi karya seni.

“Ini kerana golongan seniman adalah individu yang mudah dikenali dan senang dirapati oleh masyarakat.Bidang yang mereka ceburi itu secara tidak langsung mempunyai pengikut (peminat) yang tersendiri.

“Mereka boleh memprotes melalui  karya masing-masing tetapi hal ini tidak berlaku. Hanya segelintir sahaja seniman yang benar-benar berani berjuang bersama rakyat dalam menegakkan hak mereka terhadp kerajaan yang memerintah.

“Jika takut menonjolkaan diri satu yang sangat malang kerana seniman sepatutnya jadi orang yang terakhir dalam keadaan negara gawat seniman berada di barisan hadapan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika hadir bersama sekumpulan kartunis Independent yang mengadakan pameran di dalam Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur pada Sabtu lalu.

Menurut beliau lagi, bakat dan profesionalisma yang dimiliki oleh golongan seniman bukannya dimiliki untuk diri sendiri.

Ia harus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dalam pelbagai cara tanpa perlu berselindung atau berasa takut.

“Seniman tidak ambil sikap bersendirian. Ini menjadikan golongan seniman dilihat tidak berfungsi dan tidak peka dalam isu-isu dibangkitkan rakyat.

“Pastinya golongan seniman sebegini dilihat seperti mementingkan diri, ini kerana bakat itu bukan anugerah semata-mata tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Ini kerana saya percaya setiap seorang seniman itu dilahirkan dengan bakat bukan belajar untuk berbakat. Kita kena bertangungjwab, kena bangkit bersama.

“Sebagaimana yang saya lakukan selama ini sumbangan saya pada rakyat adalah kartun saya yang memberikan mesej masyarat Malaysia
yang tertekan dengan isu-isu negara seperti kos sara hidup, ketidak adilan, rasuah pimpin dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau  telah menerbitkan 9 buku kartun  yang mana 8 daripadanya telah di haramkan penerbitan dan yang terkini  buku  berjudul ‘Sapuman Man of Steal’ juga  diharamkan Kementeria Dalam Negeri.

Penerima  empat  anugerah peringkat antarabangsa ini “Courage in Editorial Cartooning Award (2011) by Cartoonists Rights Network
International (CRNI); Artist-in-Residence (2011) oleh BilbaoArte/Fundacion and BBK di Spain dan Human Rights Watch Hellman/Hammett Award (2011) dan ‘Anugerah Kartunis untuk Keamanan (2016) itu, kini dalam proses perbincangan dengan peguamnya untuk mencabar kerajaan dengan pengharaman penerbitan terbarunya itu.

“Saya masih berbincang dengan peguam untuk cabar pengharaman ‘Sapuman Man of Steal dalam seminggu dua ini untuk sediakan
afidavit dari segi undang-undang dan peruntukan yang boleh digunakan,” ujarnya.

Kehadiran beliau dalam himpunan anti-kleptokrasi itu juga tidak menghampakannya kerana  mempunyai ramai pengikut tersendiri
yang turut memberikan sokongan dengan perjuangan rakyat melalui karya-karyanya.

“Sambutan sangat bagus sampai saya tidak pergi mana-mana hanya  sempat makan burger kerana sibuk menandatangani autograf untuk karya terbaru saya yang diharamkan itu,” ujarnya.

Protes perlu dilakukan dalam pelbagai dimensi jika mahu menumbangkaan sebuah rejim.

Protes dalam pelbagai dimensi 

Zunar, 54, berkata, sebuah kerajaan tidak akan jatuh dalam satu protes yang sama melainkan berlaku protes dalam pelbagai cara seperti apa yang beliau sedang lakukan selama ini.

“Perlu ada pelbagai dimensi untuk protes apabila mahu menumbangkan sebuah rejim yang sudah lama berakar umbi.

“Jika kita nak lawan tinju dengan gergasi kita kena tumbuk dalam pelbagai arah sebagaimana himpunan dianjurkan pembangkang seperti Reformasi, Bersih dan Kleptokrasi sangat baik dilakukan.

“Ini kerana kerajaan Malaysia tidak akan jatuh dalam satu protes yang sama hanya parti-parti politik pembangkang sahaja melakukannya.

“Saya buat apa yang termampu menghadirkan di dalam himpunan ini untuk menterjemahkannya dengan melukis kartun,” ujarnya yang menyedari kebanyakan yang hadir ke himpunan anti-kleptokrasi ini adalah dikalangan generasi muda dan pengikut baharu.

“Saya sudah terbabit lama dalam gerakan rakyat ini yang pernah dianjurkan Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Saya lihat banyak muka-muka baru pejuang rakyat hadir di kalangan orang muda.Satu perkembangan yang baik.

“Secara umum Tun Dr Mahathir telah menyuntik semangat baharu dan berjaya menjangkau kepada golongan sasar yang baharu. Sebelum ini kumpulan itu tidak diberi fokus oleh Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan seperti orang muda, Felda , orang
awam dan kakitangan kerajaan.

“Golongan ini jarang dapat ditembusi oleh pembangkang itulah keterbatasan pembangkang dahulu. Ini satu nilai tambah dan dalam sebuah perjuangan perlu ada nilai tambah,” ujarnya yang merujuk kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana parti itu menyertai barisan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan AMANAH untuk bersama menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

798 total views, 6 views today

CATEGORIES
TAGS