Malaysia Dateline

Golongan tidak mahu Darurat dibatalkan adalah penakut

Kumpulan atau golongan yang mempertahankan Proklamasi Darurat di negara ini dilihat sebagai mereka yang penakut.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan dalam kenyataan media beliau semalam memaklumkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Januari lalu hanya sebagai perisai untuk menyembunyikan golongan penakut di belakangnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya kini ujar Aminolhuda boleh dikatakan sebagai penakut dan tidak bertanggungjawab.

“Jika mereka berpendirian untuk berkeras mempertahankan Proklamasi Darurat, jelaslah bahawa beliau (Muhyiddin) dan kabinetnya adalah golongan yang penakut.

“Sekiranya mereka cukup bilangan sokongan dan berdiri sebagai kerajaan prihatin, mengapa disekat suara legislatif yang mewakili suara rakyat di negara ini.

“Ini jelas mereka (kerajaan Perikatan Nasional) memang penakut dan saya cabar untuk mereka membuka semula ruang kepada kuasa legislatif untuk bersuara dalam negara ini,” katanya kepada wartawan.

Adun Parit Yaani itu turut menjelaskan betapa pentingnya suara ahli parlimen dan Adun untuk mengangkat suara rakyat di negara ketika ini.

Sebagai contoh kata Aminolhuda lagi, rakyat akan melihat kesannya sekiranya wujud komunikasi dua hala yang akan memperjuangkan nasib rakyat.

“Contohnya seperti Belanjawan 2021 apabila suara pembangkang sebagai suara yang bersungguh menekankan hal kepentingan rakyat, akhirnya kesan positif terhadap perkara itu dapat dirasai semua.

“Samalah ianya berlaku di Johor dan itulah penting suara dua hala yang berlaku untuk kaedah semak dan imbang.

“Cuba lihat perkara yang berlaku dalam negara apabila rakyat terus teraniaya oleh undang-undang dan perwartaan sebelah pihak, akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana wujudnya suara sehala atau boleh dikatakan sebagai diktator,” katanya lagi.

Semalam Aminolhuda turut mengadakan kempen ‘Tamat Darurat’ bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor yang dibuat di pejabat Parti Amanah Negara Johor di sini.