Malaysia Dateline

Golongan wanita terus disantuni di Pulau Pinang

Biarpun sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti, sebagai wakil rakyat AMANAH, penat dan lelah tidak menjadi perhitungan bagi Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Beliau bukan sahaja memenuhi tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan saban hari, malah usaha bagi menyahut seruan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya golongan wanita dimartabatkan turut dilaksanakan.

“Kerajaan PH Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang mengadakan polisi dan program mengangkat golongan wanita terlibat dalam politik dan tadbir urus melalui Sidang Wanita dan polisi 30 peratus wanita dalam Dun yang dikenali ‘Tup-Up Women Only Additional Seats (TWOAS)’.

“Sejajar dengan itu, sebagai langkah awal, pendedahan kepada peserta wanita pelbagai latarbelakang umur, pendidikan dan kaum dipilih dengan pusingan pertama diadakan program ucapan awam dan pusingan kedua program kerja di lapangan.

” Terkini, kawasan Jeti Nelayan, Pengkalan Tambang dipilih dengan penglibatan serampang dua mata iaitu menyalurkan sumbangan barang dapur serta pembangunan jeti nelayan kepada nelayan yang tergolong dalam kumpulan B40,” ujar beliau.

Malah sebagai Adun katanya, pembangunan fizikal dan kebajikan penduduk adalah dua elemen penting gerak kerja di Dun Permatang Pasir.

Maka itu tegas Faiz, sokongan penuh diberikan dan wanita harus diberi peluang yang lebih untuk terlibat urus bersama merangka polisi bagi membina negeri dan mengangkat kebajikan rakyat.

Tambah beliau, wakil rakyat sebetulnya adalah sebagai pemudah cara perkhidmatan kebajikan kepada rakyat serta disampaikan dengan baik dan berkesan.