Malaysia Dateline

Gong Xi Fa Cai, Salahuddin

Tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, kaum Tionghua yang mencari kehidupan di Tanah Melayu berlari dari kemiskinan hidup dan penindasan tentera Jepun yang menyerang China. Perang tidak kenal erti kemanusiaan tetapi di situlah juga lahirnya rasa kemanusiaan yang paling dalam. Nyawa, darah dan keringat menjadi pertaruhan kehidupan.

Haji Awang Abdul Hamid dan pasangannya Salamah Abdul Rahim sudah lama berumah-tangga. Kedua-duanya berasal dari Serkat dan mempunyai tanah kebun kelapa yang luas. Keturunan mereka berasal dari Kepulauan Karimun. Pulau Karimun adalah antara kepulauan Indonesia yang terhampir dengan Semenanjung Malaysia. Kepulauan Karumun adalah di bawah pentadbiran pemerintahan Melayu Johor Riau sebelum dipisahkan oleh Perjanjian Inggeris Belanda 1824.

Tanah yang ada di Serkat dijadikan tempat mereka bercucuk tanam dan memungut rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan. Rumah mereka juga sederhana besar tetapi kehidupan mereka sepi dari suara kanak-kanak. Sudah bertahun mereka berumahtangga, rezeki untuk menimang zuriat sendiri belum tercapai.

Haji Awang berkawan dengan ramai penduduk Serkat. Hampir seluruh penduduk mengenali Haji Awang. Haji Awang seorang dermawan dan pemurah. Itulah antara sifat umum orang Melayu yang sejati.

Salah seorang kawan Haji Awang dari kaum Tionghua ialah yang bernama Tan. Tan mempunyai dua anak. Mereka mempunyai rumah seadanya untuk berteduh. Tan terasa tidak mampu menyara kehidupan keluarganya. Bayi perempuan itu diserahkan kepada Haji Awang yang kebetulan tiada anak. Bukan Tan menyerah kalah membesarkan zuriatnya sendiri. Tan berfikiran demi masa hadapan anak yang baru lahir lebih utama. Anaknya itu adalah lebih hidup selesa di bawah peliharaan Haji Awang dan isterinya

Pada tahun-tahun era Perang Dunia Kedua, keadaan ekonomi dan penghidupan kaum Tionghua di Malaya adalah sangat daif. Mereka menjadi mangsa pemerasan kongsi-kongsi yang memungut duit perlindungan untuk jaminan keselamatan. Selepas perang berakhir, mereka terpaksa berhadapan dengan kekejaman Jepun di zaman pendudukan Jepun.

Semasa Perang Dunia Kedua, tentera Jepun mendarat di pesisir pantai Serkat. Sehingga sekarang, penduduk tempatan menyebut tempat pendaratan Jepun itu sebagai Laut Jepun. Tentera laut Jepun adalah adalah pasukan tentera laut ketiga besar di dunia ketika itu.

Serangan tentera Jepun ke atas negeri Johor adalah serangan peringkat akhir untuk menundukkan cengkaman British ke atas Malaya. Tentera Jepun telah menguasai tebing utama Sungai Muar pada 1942. Penduduk Muar telah diarahkan oleh pihak berkuasa supaya berpindah ke kawasan pendalaman dan kampung. Serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh General Nishimura.

Pada ketika ini, kaum Tionghua mengalami ketakutan dan kebimbangan sangat dengan kemaraan tentera Jepun. Sejarah hubungan kaum Tionghua dengan Jepun sudah dalam keadaan tegang sejak Jepun menawan China. Permusuhan tersebut berterusan di mana kedua-dua kaum ini bertembung. Ramai kaum Tionghua melarikan diri ke kawasan perkampongan Melayu dan pedalaman.

Sebaliknya, orang Melayu mempunyai hubungan yang agak baik dengan Jepun. Ini kerana kedatangan tentera Jepun dialu-alukan oleh sesetengah pimpinan Melayu yang menentang penjajahan British. Tambahan pula, idea pembebasan Asia daripada kuasa Barat sangat berpengaruh kepada sesetengah pemimpin tempatan. Bagi Jepun, orang Melayu bukan sekadar penduduk asal negara ini tetapi adalah tuan punya tanahair.

Tentera Jepun dapat menawan bandar Muar dengan mudah sekali tanpa menghadapi tentangan hebat. Dengan menggunakan jambatan yang dibina di atas perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta kebal tentera Jepun kemudiannya menyeberangi Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai tebing Sungai Muar sepenuhnya.

Sepanjang zaman pendudukan Jepun, kaum Tionghua di Malaya hidup di dalam keadaan tertekan. Orang Melayulah yang menjadi pelindung kepada mereka tanpa menafikan terdapat juga orang Melayu yang mengambil kesempatan atas kesulitan yang dihadapi oleh orang Tionghua.

Setelah pengunduran Jepun, orang Tionghua sekali lagi berhadapan masalah baru. Mereka berhadapan dengan orang Melayu yang marah kepada sesetengah orang Tionghua yang bersengkokol dengan tentera Komunis menjarah sebelum kedatangan tentera British ke Malaya.

Konflik antara kaum terutama antara orang Melayu dan Tionghua di Muar, Batu Pahat dan beberapa tempat lain selepas Perang Dunia Kedua tamat juga menekan kehidupan kaum Tionghua. Termasuklah serangan di Bukit Kepong oleh Komunis. Kaum Tionghua yang miskin lebih terperangkap antara konflik pihak-pihak yang berkepentingan.

Selepas Jepun menyerah kalah, Malaya di dalam keadaan ketidaktentuan kerana ketiadaan pihak berkuasa yang berwibawa. Pihak gerila Komunis dan pihak-pihak berkepentingan menegakkan keadilan mengikut perkiraan masing-masing.

Kaum Tionghua tiada tanah sendiri dan menumpang dengan ihsan orang-orang Melayu di perkampongan dan pendalaman. Tan sekeluarga yang tinggal di kampong Serkat menyedari situasi segenting begitu. Kesempitan hidup mereka, memaksa Tan dan isterinya menyerahkan bayi perempuan yang baru dilahirkan kepada Haji Awang yang tinggal tidak berjauhan daripada rumah mereka. Mereka kenal Haji Awang. Mereka tahu bahawa bayi perempuan itu akan selamat dan lebih beruntung dipelihara oleh keluarga Melayu itu.

Lalu dibesarkan anak Tionghua dengan pendidikan dan kehidupan Haji Awang dan isteri dengan budaya Melayu dan Islam. Lalu dinama bayi perempuan itu dengan nama Aminah, sempena nama ibu Nabi Muhammad SAW. Aminah membesar sebagai anak orang Melayu meski darahnya adalah dari seorang ibu darah Cina. Darah tidak pernah mengenal rupa kaum atau agama. Darah tetap merah. Darah tetap panas cair.

Setelah Aminah menjadi gadis sunti dan tiba masa untuk berumahtangga, dia dikahwinkan dengan seorang guru agama, Cikgu Ayub. Ramai orang Melayu Serkat berkahwin dengan anak Tionghua yang dipelihara oleh orang Melayu. Uda Tahir, isterinya adalah wanita Tionghua yang dipelihara oleh orang Melayu. Cikgu Ismail pula berkahwin dengan anak perempuan Ah Soh yang dipelihara oleh orang Melayu. Abang isteri Cikgu Ismail, Ah Seng tinggal di Serkat. Manakala Sahera, gadis Melayu Serkat berkahwin dengan Andy Lau, lelaki Tionghua yang memeluk Islam.

Kehidupan masyarakat di Serkat sangat damai walaupun orang Tionghua tinggal bersama dengan orang Melayu. Kadangkala saat kematian orang Tionghua, penduduk Melayu kampong Serkat turut mengangkat keranda sebagai tanda kerjasama.

Keadaan Serkat tidak seperti sekarang. Di Pekan Serkat pada tahun-tahun sebelum 60an terdapat Pejabat Kastam, Pejabat Perhutanan, kedai emas, kedai dobi dan sebagainya. Bahkan pekan Serkat lebih maju berbanding dengan pekan Pontian. Oleh kerana itu, ramai orang Tionghua menjadikan pekan Serkat sebagai tempat mereka berniaga dan mencari rezeki.

Suasana ini dirakamkan kembali oleh Allahyarham Pak Shukur Harun, anak jati Serkat yang merupakan veteran wartawan dari Berita Harian dan Harakah dalam puisinya yang bertajuk ‘Sejarah Panjang China’. Beliau menulis;

Kini, di tanahair, aku membina sahabat

Dengan orang Tionghua

Mereka kuat berusaha dan berniaga

Kata mereka, meniaga itu satu peperangan

Memerlukan kesungguhan

Idea, strategi, tabah dan berani.

Hasil perkahwinan antara Cikgu Ayub dengan Aminah, lahirlah seorang bayi yang bernama Salahuddin pada tahun 1961. Salahuddin dilahirkan di rumah datuknya, di Kampong Serkat. Ibubapa Salahuddin memang tinggal bersama orang tua mereka sebelah ibu Salahuddin, yang bernama Aminah.

Malam selepas maghrib itu, air tembuni Aminah sudah keluar. Saat berdebar tiba. Anak sulong Cikgu Ayub dan cucu pertama Haji Awang yang ditunggu lahir pada malam Jumaat. Malam penuh keberkatan dan rahmat dari Tuhan. Doa seisi keluarga tidak putus-putus memanjatkan pertolongan daripada Allah. Cikgu Ayub dan isterinya Aminah akan menjadi seorang bapa dan ibu. Manakala Haji Awang dan isterinya akan menjadi datuk dan nenek.

Cikgu Ayub datang ke rumah bidang Tok Alang Minah untuk jemput ke rumah bapa mertuanya. Tok Alang Minah seperti biasa sudah maklum tugasnya. Tambahan pula, beberapa bulan lalu sudah awal-awal isteri Haji Awang meminta agar Tok Alang Minah yang menyambut kelahiran cucu pertama mereka. Beberapa pakaian baru dibeli dari pasar Serkat dan Simpang.

Bidan Tok Alang Minah yang menyambut Salahudin beberapa minit sebelum masuk waktu solat Subuh hari Jumaat. Hampir kesemua bayi di Kampong Serkat itu mendapat perkhidmatan dari bidang kampong, Bidan Tok Alang Minah. Disediakan segala keperluan untuk mengurut, menyapu minyak ubat, memperbetulkan urat saraf yang tegang menahan kesakitan bersalin. Menyediakan tungku panas bagi melegakan urat saraf. Itu pertarungan menyambung nyawa.

Ubat-ubatan yang dibawa oleh Bidan Tok Alang Minah sebagai ikhtiar untuk memulihkan semula kesihatan Aminah. Kebanyakan ubat tersebut diperbuat daripada akar-akar kayu yang dimasak dan airya diminum dan sesekali Aminah mengambil jamu sedikit.

Manakala Cikgu Ayub menyediakan peralatan untuk bertangas. Bertangas akan mengecutkan rahim serta saluran peranakan juga mengeluarkan kekotoran daripada badan ibu bersalin. Cikgu Ayub menyusun daun senduduk dan sabut kelapa yang diperoleh di sekitar rumah.

Kemudian dibakar dan asap daripada bahan tersebut diasapkan pada seluruh anggota badan Aminah. Cikgu Ayub hanya mengikuti arahan mak mertuanya sahaja. Itu memang amalan orang Melayu. Mereka percaya jika amalan ini dilakukan pada setiap hari selama masa pantang dapat memberi kesegaran kepada tubuh ibu tersebut. Kulit ibu akan menjadi tegang semula dan berwarna kekuningan kerana diresapi oleh asap bahan tangas itu.

Kapur dan limau disapu pada perut Aminah. Selain itu Bidan Tok Alang Minah juga memasangkan bengkung pada perut Aminah dengan dibantu ibunya. Proses pemulihan adalah penting bagi mengembalikan keadaan sediakala, iaitu dari segi kesihatan rohani juga mentalnya, kejelitaannya serta bentuk badannya.

Selepas itu, bidan kerajaan Misi Goh berulang alik memeriksa kesihatan Aminah dengan anak sulongnya itu dengan perubatan moden. Misi Goh berkhidmat dengan di klinik kerajaan di kampong Serkat, sebuah perkampongan Melayu yang mempunyai kaum Tionghua sebagai kejiranan mereka.


(Artikel ini petikan sebahagian daripada biografi Salahuddin Ayub dalam dalam proses pembikinan oleh penulis.)