Gong Xi Fa Chai: Mempelajari semangat bangsa Cina

Gong Xi Fa Chai: Mempelajari semangat bangsa Cina

KINI sekali lagi rakyat negara ini khasnya kaum Tionghoa atau bangsa Cina menyambut tahun baru mengikut tradisi dan kiraan tahun yang telah diikuti sejak ratusan tahun.

Adalah difahamkan kaum Tionghoa merupakan majoriti utama bangsa Cina yang telah berhijrah ke Tanah Melayu dari Tiongkok sekitar abad ke-15. Mereka mungkin pernah berhijrah sewaktu era perdagangan Melayu Melaka semasa Kesultanan Melayu Melaka mahupun akibat dasar-dasar British yang membawa beramai-ramai kaum mereka ke Tanah Melayu untuk mengisi pekerjaan melombong bijih timah bagi kepentingan penjajah British.

Sebagai warga negara ini, saya masih teringat pengalaman merayakan Tahun Baru Cina bersama bapa saya apabila kami mendapat jemputan dari tauke kedai elektrik di pekan Sekinchan dekat Kuala Selangor. Dulu kedai ini namanya Kee Heng. Apabila ada sahaja keperluan barangan elektrik maka abah saya akan meminta kami ke kedai Kee Heng itulah.

Namun dikatakan anak beliau yang belajar di luar negara sebagai jurutera (saya tidak pasti kesahihannya) apabila kembali ke Sekinchan mula membuka kilang peralatan elektrik di Sekinchan dengan nama KHIND. Mengikut Wikipedia, syarikat ini didaftarkan pada 1961 dan telah berjaya meraih pendapatan RM325 juta pada tahun 2013 dengan pekerja seramai 800 orang. Apa yang menarik kilang di Sekinchan ini telah memberi pekerjaan kepada semua kaum termasuk orang Melayu di sekitar kawasan ini. Mereka juga telah mengedarkan barangan elektrik mereka ke enam puluh negara di seluruh dunia.

Ayah saya ialah seorang guru besar sekolah agama di kampung saya, Pekan Pasir Panjang serta Nazir Masjid As-Saidiyah sempena nama datuk saya, Haji Said sebagai pengasas dan pembuka kampung saya ini. Walaupun ayah saya seorang agamawan namun beliau sudi menghadiri majlis raya kaum Tionghoa di pekan Sekinchan itu.

Kenapa ayah saya agak rapat dengan tauke tersebut ialah kerana segala urusan yang melibatkan kuasa elektrik di kampung diuruskan oleh mereka. Sumber elektrik mula masuk ke kampung sekitar 1971. Pendek kata hubungan kami seperti dalam filem Sarjan Hassan. Memang kami panggil abang Cina yang datang membaiki janakuasa kecil eletrik dengan gelaran ‘Apek’. Kadangkala dia malu dengan kami kerana walaupun kami masih kecil kami berpuasa pada bulan Ramadan.

Sebelum itu kami tiada bekalan elektrik, hanya menggunakan lampu minyak tanah. Sumber kuasa elektrik bukanlah dari kerajaan tetapi dari sebuah janakuasa kecil eletrik menggunakan diesel yang diletakkan di kawasan rumah saya dan disalurkan ke rumah-rumah orang penting di kampung seperti ketua kampung, rumah penghulu, rumah guru besar dan lain-lain. Mungkin hanya sekitar sepuluh buah rumah dan hanya menyala pada jam 7 malam hinggalah sekitar 12 tengah malam.

Pekan Sekinchan adalah pekan kecil yang terletak di antara sempadan Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Kini ia masih dalam sempadan Parlimen Sungai Besar dan dalam Dun Sekinchan. Rata-rata kaum Tionghoa berniaga dan membuka kedai. Walaupun begitu pembeli utama ialah para petani Melayu sekitar pekan Sekinchan. Di sana juga ada pasar basah yang terkenal dengan jualan ikan dengan harga sangat murah. Setiap hari apabila ikan dibawa naik oleh nelayan sekitar jam 3 petang, anda boleh membeli ikan segar yang baru sampai dengan harga sangat murah.

kopitiam

Pekan Sekinchan juga menjadi lokasi orang Melayu berhimpun santai di kedai Kopitiam selain warung-warung makan orang Melayu. Pada sekitar 1970-an apa yang menarik orang Melayu termasuk orang masjid tetap minum kopi di kedai Kopitiam kaum Tionghoa yang hanya menyediakan kopi serta roti bakar. Memang rasa kopi dan kaya pandan buatan sendiri dengan roti bakarnya menyelerakan semua pengguna. Pada masa itu orang masjid pun yakin akan kehalalan makanan dan minuman kedai ini. Kaum Tionghua juga tahu akan sensitiviti orang Melayu. Ini kerana orang Melayu adalah pelanggan tetap mereka setiap hari.

Walaupun kami semua berlainan agama dan bangsa, namun penduduk di sini hidup aman dan damai. Cuma mereka pernah bercerita bahawa pada 13 Mei 1969, ada satu kes pembunuhan di belakang sebuah panggung wayang yang sering menayangkan filem Kung Fu.

Sejak saya bersekolah hinggalah ke menengah Tinggi di Kolej Islam Kelang, saya tidak mempunyai rakan berbangsa Tionghoa. Hinggalah apabila saya belajar malam bagi mendapatkan diploma lanjutan dan sarjana di sekitar Kuala Lumpur, saya mula berinteraksi dan bergaul dengan mereka terutama ketika menyiapkan tugasan.

Saya masih teringat dimarahi teruk apabila lambat mendapatkan data dari Bursa Saham Kuala Lumpur. Tugasan saya mencari data kewangan sepuluh tahun ke belakang sebuah syarikat besar GLC dan pengalaman ini mengajar saya akan semangat kegigihan yang ada pada bangsa mereka.

Ringkasnya mereka memang suka membuat sesuatu dengan serius dan kerja kuat. Semangat ini saya serapkan dalam diri saya juga untuk bekerja keras dan memberikan komitmen sepenuhnya apabila membuat sesuatu projek.

Sekali lagi saya juga mendapat pengalaman yang lain ketika dalam satu kumpulan kami diminta untuk membuat pembentangan di hadapan kelas. Antara rakan kelas saya ialah Duta Kerajaan Namibia William Amagulu (telah meninggal dunia) dan seorang pelajar dewasa berbangsa Tionghoa.

William dan beliau bertengkar habis kerana untuk mendapat markah A dalam pembentangan tersebut. Sikap buat sambil lewa mungkin tiada dalam kamus kaum ini. Kaum Tionghoa juga saya kira apabila memberi pandangan tidak suka berlapik. Jika memberi komen kadangkala boleh menyebabkan jiwa kita terhiris jika tidak kenal budaya mereka. Mereka ini jenis telus tiada berlapik daun kelapa!

Saya juga memerhatikan sepanjang mengikuti kelas sarjana perniagaan tersebut, hampir seratus peratus pelajar kaum Tionghoa datang ke kelas tepat pada masanya dan menyiapkan semua tugasan dengan bersungguh-sungguh. Jika saya ingin meminjam nota, mereka memberikan kepada saya dengan senyuman.

Dari pengalaman ini, saya mendapat satu pengajaran besar dalam hidup bahawa kaum Cina sangat serius dalam bekerja dan sentiasa inginkan keputusan yang cemerlang dalam semua perkara. Memang ada pelajar yang nakal dan malas, namun secara umum mereka adalah bangsa yang rajin. Bagi yang lemah akademik biasanya mereka menjadi pelatih di kedai mekanik mahupun belajar berniaga.

Adapun orang Melayu di kampung yang terdiri dari petani dan nelayan juga sangatlah rajin. Bangun awal sebelum subuh dan pagi hari untuk menoreh getah dan ke laut. Tuduhan melampau mengatakan bahawa orang Melayu malas adalah satu tuduhan yang dangkal dan tidak wajar sama sekali!

Sebenarnya semua kaum di Malaysia adalah rajin. Jika ada yang malas ianya bukanlah disebabkan kaum tetapi sikap peribadi yang mengamalkan budaya buruk dan patut dijauhi.

Namun adalah tidak salah untuk kita saling lengkap melengkapi antara sesama kaum. Kini ramai kaum Tionghoa juga telah memeluk Islam dan membuka restoran makanan Cina yang sangat sedap. Ramai juga yang membina syarikat secara bersama dengan orang Melayu.

Apa pun warna kulit dan latar belakang agama mereka, kita semua adalah rakyat Malaysia dan berlindung di langit yang sama. Kita juga lahir di bumi bertuah ini dan mungkin akan dikebumikan di tanah air tercinta ini. Bahkan menu sarapan pagi rakyat Malaysia sudah merentasi semua kaum dan bangsa. Menu roti canai, teh tarik dan nasi lemak semua diminati oleh semua kaum dan bangsa.

Kepada orang Melayu, janganlah rasa terancam dengan kewujudan kaum-kaum lain di negara kita. Data terkini menunjukkan jumlah kaum Bumiputera menjangkau 69 peratus dengan 64 peratus beragama Islam. Data 2016 menunjukkan kadar kelahiran orang Islam atau Melayu adalah 2.6 peratus manakala kadar kelahiran di kalangan kaum Cina pula mengurang kepada 1.4 peratus dari setengah juta kelahiran.

Ada sebuah NGO Islam mensasarkan bahawa umat Islam di negara ini akan mencapai sasaran 80 peratus beragama Islam tanpa mengira kaum dan bangsa pada tahun 2020. Pada ketika itu orang Melayu wajar merasa lebih tenang kerana majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam. Jika anda bersetuju dengan usaha ini maka ayuhlah bersama-sama menyampaikan dakwah kepada seluruh rakyat belum Islam di negara ini.

Islam adalah agama untuk semua kaum dan bangsa. Kejadian ciptaan Allah dari pelbagai bangsa dan bahasa adalah untuk berkenalan dan membina tamadun. Dakwah dan risalah Islam bukan untuk bangsa Melayu sahaja bahkan untuk semua kaum dan seluruh manusia.

Kehadiran pelbagai kaum dan budaya bukan untuk saling berkelahi dan berbangga dengan kaum mereka sahaja apatah lagi jika sesuatu kaum itu melakukan penindasan atas nama perkauman.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan bahasa kita semua wajar berbangga. Semangat yang harus dipupuk adalah negara ini akan lebih baik lagi dan makmur jika diurus dan ditadbir dengan cara yang berintegriti, telus dan jujur.

Marilah kita sambut Tahun Baru Cina 2018 dengan semangat muhibah dan saling percaya mempercayai demi membina masa depan negara yang lebih gemilang dan memilih gabungan parti politik yang berwibawa iaitu Pakatan Harapan dan pemimpin yang jujur dan beramanah pada PRU14 yang akan datang.

Sekali lagi saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2018, Gong Xi Fa Cai!
____________________________
Penulis ialah Naib Pengerusi AMANAH Selangor

 

CATEGORIES