Gordon Ramsay puji teknik masakan Khairul Aming, datang Malaysia “nanti saya bagi sambal”

Oleh NASUHA RAHMAN

Gordon Ramsay merupakan chef terkenal yang berasal dari United Kingdom. Beliau mempunyai pelbagai rancangan masakan yang ditayangkan di televisyen seperti Hell’s Kitchen.

Pempengaruh media sosial, Khairul Aming (KA) terus menjadi topik bualan orang ramai sejak beberapa hari lalu kali ini popularitinya melebar hingga ke luar negara.

Terbaru, salah satu resepi yang dimuat naik oleh beliau menerusi platform TikTok berjaya menarik perhatian chef seleberiti terkemuka dunia, Gordon Ramsay.

Selain itu, restoran miliknya, Restoran Gordon Ramsay turut menerima pengiktirafan tiga bintang Michelin.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikToknya, Gordon memberikan reaksi terhadap resepi Burnt Sugar Steamed Pudding yang disediakan oleh KA.

Menurut KA, juadah berkenaan dibuat berdasarkan resepi yang diperolehi daripada buku resepi karya Gordon sendiri, bertajuk Uncharted.

Di sepanjang video reaksi berkenaan, Gordon memuji teknik masakan yang diperagakan KA yang disifatkan sangat menarik dan tepat.

Gordon ternyata tidak dapat menutup keterujaannya apabila melihat hasil akhir juadah yang disediakan oleh KA itu.

”Saya akan berada di Malaysia minggu depan, dan saya akan tunjuk kepada kamu sekali lagi, tahniah,” kata Gordon.

Dalam pada itu, KA dalam video balasnya merasa terharu apabila video masakannya mendapat perhatian daripada chef terkemuka antarabangsa itu.

Kata KA, beliau hanya menyedari video reaksi berkenaan pagi tadi selepas mendapat notifikasi namanya di tag oleh pengikut pada video tersebut.

Melihat kepada reaksi ikhlas diberikan oleh Gordon, dapat disimpulkan bahawa resepi yang disediakan oleh KA itu menepati teknik yang dibukukan di dalam Unchaterd.

Dalam pada itu, KA juga sempat berseloroh di hujung videonya ketika membalas reaksi diberikan oleh Gordon.

”Haaa datang Malaysia, nanti saya bagi sambal,” kata KA.

Menjengah ke ruangan komen, para pengikut KA juga begitu teruja dengan video reaksi berkenaan.

Rata-rata mengucapkan tahniah kepada KA memandangkan Gordon adalah nama besar dalam bidang kulinari di peringkat global.

Apabila nama dan video masakan KA menarik perhatian Gordon, ia boleh dianggap sebagai salah satu bentuk pengiktirafan kepada bakat yang dimiliki oleh anak muda berasal dari Kelantan itu.