GPM Malaysia serah sumbangan kepada lebih 100 keluarga pelarian di Aden

GPM Malaysia serah sumbangan kepada lebih 100 keluarga pelarian di Aden

Lebih 100 keluarga pelarian di sebuah kem di Aden menerima sumbangan bekalan makanan dari Global Peace Mission (GPM) Malaysia pada Ahad (semalam).

Ketua Misi #PeduliYaman, Syahrir Azfar Saleh, 32, berkata, barangan terdiri daripada 50 kilogram (kg) tepung gandum, 5 kg beras basmathi dan pek tin berisi kekacang yang diserahkan kepada setiap keluarga berupaya menampung bekalan makanan mereka untuk tempoh sebulan.

Semua barangan bantuan itu dibeli di Aden menggunakan hasil sumbangan rakyat Malaysia, menerusi kempen #PeduliYaman.

“Barangan dapur diserahkan kepada hampir 100 buah keluarga dan semua ini adalah hasil sumbangan anda rakyat Malaysia melalui kempen Hashtag Peduli Yaman”. kata Syahrir kepada Bernama News Channel (Astro 502).

Dalam pada itu, beberapa pelarian yang ditemui berkata mereka amat bersyukur dengan bantuan dihulurkan rakyat Malaysia.

Kebanyakan mereka adalah pelarian dari Taiz, Hudaidah dan Saadah menyifatkan bantuan makanan dihulur GPM adalah terbesar diterima mereka sejak mula menghuni kawasan berkenaan setahun lepas.

“Terima kasih Malaysia. Kami semua amat berterima kasih atas keprihatinan anda kepada golongan pelarian”, kata Ahmed Ali, pelarian dari wilayah Hudaidah.

“Kamu semua saudara kami, saudara kami, Muslim. Dan semua pelarian di kem ini mengucapkan terima kasih kepada Malaysia”, kata Muhammad Hassan Saed juga dari wilayah Hudaidah.

Sementara itu, wakil Sanid Organization, Dr Saad Ahmed Geradi berkata bantuan dihulur GPM Malaysia amat dialu-alukan kerana masih banyak kem pelarian sekitar Aden kekurangan bekalan makanan.

“Penghuni kem ini tidak mempunyai sumber pendapatan. Setelah lebih setahun tinggal di sini, GPM Malaysia satu-satunya wakil yang tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran, malah mereka mahukan lebih bantuan pada masa akan datang”, katanya.

Selain itu, kem yang terletak berhampiran Pelabuhan Aden ini mempunyai rekod perebakan wabak kolera apabila 25 individu dijangkiti wabak berkenaan setakat ini.

Ia berpunca daripada sistem kumbahan kurang sempurna, menyebabkan air kotor dari najis mengalir dan bertakung di tengah kawasan kem, berjarak hanya dua hingga tiga meter dari khemah perlindungan pelarian.

Pelarian berkenaan adalah mangsa perang perebutan wilayah antara puak Houthi dan Tentera Kerajaan proPresiden Abdul Rabbuh Mansur Al-Hadi yang disokong Pakatan Tentera pimpinan Arab Saudi.

Peperangan masih berterusan sehingga kini di beberapa wilayah utara Yaman seperti Taiz, Sana’a, Hudaidah dan Saadah.– BERNAMA