GPMS alu-alukan pengubahsuaian bajet pentadbiran Najib

GPMS alu-alukan pengubahsuaian bajet pentadbiran Najib

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik penambahbaikan bagi sektor pendidikan dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, semalam.

Dalam satu kenyataan media, Presiden GPMS Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya pada 19 Januari telah memohon kerajaan mempertimbangkan sebarang cadangan untuk memotong peruntukan sektor pendidikan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Pemotongan ini, ujarnya akan menjejaskan proses pembangunan modal insan yang dikhuatiri akan merencatkan perancangan Malaysia untuk menuju negara maju menjelang 2020.

“GPMS melihat kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam memahami kepentingan pembangunan modal insan di Malaysia, terutama apabila negara mengalami keadaan ketidaktentuan ekonomi akibat krisis global.

“Justeru, tindakan Perdana Menteri untuk tidak sama sekali menyentuh, malah menambah baik peruntukan bagi sektor pendidikan adalah amat dialu-alukan,” jelasnya.

Zambri turut menyentuh peruntukan RM5 bilion pembiayaan PTPTN yang akan terus disalurkan kepada mahasiswa dan perancangan kerajaan untuk meneruskan empat program tajaan JPA termasuk Program Lepasan Bursary bagi 744 pelajar.

Ini katanya termasuk pengambilan baharu seramai 8,000 pelajar yang akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di universiti awam dan swasta dalam negara.

Selain itu, tambah beliau, GPMS menyokong penuh langkah kerajaaan untuk pengukuhan pelaburan modal insan, melalui program-program seperti MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA.

“GPMS berpendapat, langkah kerajaan bagi pengukuhan modal insan ini adalah amat penting, terutama untuk membantu proses pemulihan ekonomi kelak yang mungkin akan berfokus kepada pengupayaan ekonomi negara agar tidak terlalu bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi terutama minyak dan gas.

“Sudah pasti, proses ini memerlukan kepakaran tertentu dan ini adalah masa yang terbaik bagi kerajaan untuk melabur dalam pembangunan modal insan untuk meningkatkan keupayaan anak-anak tempatan yang akan memacu kepimpinan negara pasca 2020 kelak,” ujarnya.

Zambri turut berterima kasih dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan program-program ekonomi sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pelepasan khas cukai pendapatan, insentif kepada sektor PKS serta pelbagai inisiatif lain untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

TAGS