
GPMS beri amaran, jangan politikkan soalan berkaitan Zakir Naik
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa agar semua pihak tidak sewenang-wenangnya mempolitikkan isu pendidikan selepas dakwaan wujud cubaan Ahli politik mendesak Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk meletakkan jawatan.
Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata, isu soalan peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang mengaitkan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, sama sekali tidak berbentuk provokatif.
Malah katanya, ia sebenarnya mengasah pemikiran kritikal pelajar untuk merumus isu-isu nasional berkaitan dengan kursus Kajian Etnik yang diwajibkan kepada semua mahasiswa di Malaysia.
“Tambahan pula, GPMS telah membuat rujukan dan mendapati bahawa tiada masalah besar dengan soalan tersebut.
“Pihak Naib Canselor UniMAP juga telah membuat kenyataan bahawa soalan tersebut telah mengikut prosedur operasi standard soalan daripada pihak Universiti.
“Dengan itu, GPMS memberi amaran keras kepada mana-mana pihak mahupun ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau membuat kenyataan tersebut yang mengulas tindakan seorang Ahli Parlimen pada semalam yang didakwa sengaja mengapi-apikan keadaan dan mendesak supaya Naib Canselor UniMAP di gugurkan jawatan.
Tambah Mohd Alif lagi, tindakan tersebut dianggap jijik dan hanya mahu ‘tunjuk jaguh’ tanpa menyelidik isu dengan lebih mendasar.
“GPMS akan sedia mempertahankan institusi Naib Canselor dan akan terus membantah jika ada mana-mana ahli politik yang ingin mencampuri dan memperkotak-katikkan jawatan Naib Canselor hanya kerana politik,” ujarnya.