Malaysia Dateline

GPMS gesa Kementerian Pendidikan beri penjelasan pelajar UEC dibenarkan ikuti PISMP

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memperjelaskan berkaitan pelajar lepasan UEC dibenarkan mengikuti Program Ijazah Sarjana Pengurusan (PISMP) yang disifatkan tidak wajar.

Presidennya Mohd Alif Anas Md Noor berkata, Tindakan Kementerian Pendidikan ini seperti ‘menambah garam di luka’ kerana rakyat tidak lagi dimaklumkan keputusan konkrit Kerajaan Persekutuan berhubung pengiktirafan sijil ini.

“”Lebih mengejut adalah kerana GPMS arif mengenai yuran pengajian bernilai RM27,831 untuk 4 tahun pengajian bagi pemohon yang berjaya adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

“Ini bermakna pemegang sijil UEC juga kini diiktiraf menerima semacam bentuk ‘Biasiswa’ dari Kerajaan Persekutuan.

“Adakah Kerajaan sememangnya merancang untuk menerima pelajar sijil UEC untuk pemberian Biasiswa-Biasiswa Kerajaan yang agihannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, GPMS terbuka untuk mendengar penjelasan dan perancangan Kerajaan berkenaan perkara ini dan yang berkaitan dengan rasional dan matang.

Namun ujarnya lagi, keputusan kementerian menerima pemohon pelajar lepasan UEC walaupun mereka perlu mengikuti menepati syarat tambahan sekiranya dipilih adalah amat mengecewakan GPMS.

“GPMS menggesa agar YB Dr. Maszlee sendiri untuk memperjelaskan perkara ini kerana ianya isu penting dan memerlukan jaminan YB Menteri.

“Walaupun begitu GPMS amat berterima kasih kerana peluang mengikuti pengajian ini dibuka kepada pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Ugama (SMU).

” Ini membolehkan ramai anak-anak Melayu Bumiputera beroleh peluang untuk menceburi bidang perguruan kelak.

“Walau bagaimanapun GPMS tetap berpendirian tegas untuk tidak mengiktiraf sijil UEC kerana ianya bercanggah dengan Dasar Pendidikan Nasional,” tegasnya.