GPMS gesa kerajaan beri peluang pelajar bumiputera lanjut pengajian luar negara

GPMS gesa kerajaan beri peluang pelajar bumiputera lanjut pengajian luar negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dukacita dengan keputusan kerajaan membatalkan dan pengurangan 744 biasiswa adalah tidak releven.

Ini memandangkan terdapat ramai pelajar terutama pelajar Bumiputera yang telah berusaha keras bagi melayakkan mereka memperoleh biasiswa JPA untuk belajar ke luar negara.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa berkata, pembatalan biasiswa ini merugikan pelajar Bumiputera yang berpotensi untuk menyambung pengajian diluar negara.

“Majoriti mereka tidak mampu untuk menanggung sendiri kos pengajian dan perbelanjaan ke luar negara.

“GPMS memahami keperluan kerajaan untuk menstrukturkan semula perbelanjaan negara, namun pembatalan biasiswa tidak kena pada masanya kerana ianya merupakan satu keperluan memandangkan tempat di Universiti Awam yang agak terhad.

“Selain itu, kerajaan juga perlu untuk melabur dalam sektor pembangunan modal insan dan perlu menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara terutama negara maju sebagai persediaan akhir menuju negara maju menjelang 2020.” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, ujar Zamri lagi, GPMS berharap agar Azalina dan kerajaan Malaysia menimbang semula keputusan untuk tidak mengurangkan bilangan biasiswa JPA ke luar negara serta tidak sama sekali mengurangkan jumlah peruntukan sedia ada kerana ia memberi impak besar dan merugikan pelajar Bumiputera.

“Apatah lagi perkara ini termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak Bumiputera termasuk dalam biasiswa pelajaran.

“GPMS berpegang kepada prinsip yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan sama sekali mengurangkan bajet bagi sektor pendidikan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan pada Januari lalu, selain berikrar untuk menambahbaik peruntukan bagi sektor pendidikan dan pengajian tinggi, termasuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).”ujarnya.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen berkata kerajaan akan dapat menjimatkan sehingga RM240juta setahun apabila membatalkan dan mengurangkan bilangan sejumlah 744 biasiswa kepada pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara.

TAGS