GPMS Pulau Pinang desak tindakan tegas diambil ke atas Namewee

GPMS Pulau Pinang desak tindakan tegas diambil ke atas Namewee

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang mengutuk tindakan penghasilan klip video Namewee ‘Oh My God” dan mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas Namewee demi memelihara keharmonian, kesejahteraan dan toleransi antara agama yang diamalkan rakyat negara ini.

Pengerusi Biro Agamanya, Azdy Mohd Arshad berkata, taktik lapuk yang digunakan Namewee, seorang pesalah yang cuba mendapatkan simpati dan menegakkan benang yang basah ujarnya, cuba mengalihkan isu kepada kononnya ada orang memuat naik video tersebut dan bukan dirinya.

“Sewajarnya isu siapa yang memuat naik video tersebut tidak timbul sama sekali.

“Kalaulah video tersebut memaparkan hubungan intim yang dirakam anatara Namewee dan pasangannya untuk simpanan mereka didedahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang pernah berlaku kepada beberapa orang artis dan tokoh politik, itu isu lain.

“Tetapi dalam isu membabitkan klip video lagu terbitan Namewee Studio Production ini, ia adalah dibuat bertujuan untuk dipertontonkan kepada umum.

“Yang lebih utama kandungan utama di dalam klip video tersebut jelas bertujuan membuat provokasi agama, mempermainkan dan mempersendakan Islam.

“Mesej daripada klip video itu juga sangat jelas. Islam cuba disamakan dengan lain-lain agama, orang Islam sengaja digambarkan dengan imej pengganas yang sentiasa memegang senapang daripada permulaan hingga akhir klip video tersebut.

“Tidak cukup dengan itu, aksi memaparkan seorang lelaki Cina memakai jubah dan serban sambil bermain judi dan melakonkan aksi meminum minuman keras jelas sesuatu sengaja dilakukan untuk mempersenda Islam,” ujarnya.

Justeru katanya, Namewee juga sememangnya sengaja dan berniat jahat mahu mencetuskan provokasi agama dan membangkitkan kemarahan ummat Islam.

Ini kerana dalam video itu menyebut kalimah Allah berkali-kali dalam lirik lagu tersebut kononnya bertujuan menghalau roh jahat dan ketika menyentuh gelas minuman keras sebelum minum selain melakukan aksi menyanyi dan menari di dalam ruangan solat di Masjid Terapung Tanjung Bungah (walaupun ianya menggunakan teknik “video editing”).

“Sebagai seorang penyanyi, pelakon, pengarah dan penerbit sudah pasti Namewee sememangnya bijak berlakon kononya dia dianianya.
“Kita ingin tegaskan isu utama bukannya isu siapa yang memuat naik video tersebut tetapi isu provokasi agama, menghina dan mempersendakan Islam.

“Diharapkan tidak ada mana-mana pihak yang tertipu dengan lakonan yang cuba dimainkan oleh Namewee.

Penyanyi dan pengarah filem, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee mendakwa klip video lagu ‘Oh My God’ yang menjadi viral baru-baru ini bukan dimuat naik olehnya.

Sebaliknya, klip video itu telah dicuri dan dimuat naik di media sosial oleh penggodam ketika ia masih dalam proses suntingan.

Sebelum ini, beberapa NGO Islam Pulau Pinang membuat laporan polis berhubungan video tersebut yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan polis mengesahkan menunggu Namewee pulang ke tanah air untuk ditahan bagi siasatan lanjut.

Dalam rakaman video bertajuk ‘Oh My God’ itu, Namewee dan tiga pelakon lain dilihat menyanyi dan menari di beberapa rumah ibadat di sekitar Pulau Pinang termasuk masjid.

Dalam pada itu, Namewee turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak polis Pulau Pinang bagi siasatan lanjut kes tersebut.

TAGS