GPMS sambut baik ketegasan PM pertahankan tulisan jawi

GPMS sambut baik ketegasan PM pertahankan tulisan jawi

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, khususnya mengenai polemik pengajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah rendah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor dalam kenyataan beliau.

Tegasnya, kedegilan Dong Zong dan lain-lain pertubuhan berasaskan kaum yang membantah keputusan pengajaran tulisan jawi walaupun setelah KPM berkompromi dengan sebahagian tuntutan mereka hanya lah menyerlahkan lagi ketaksuban kaum dan sikap rasis cauvanis Dong Zong dan juak-juaknya.

“Selain itu tindakan bantahan berterusan menyerlahkan motif sebenar badan ini bertindak bukan untuk kepentingan nasional, tetapi nafsu untuk terus memperkotak-katikkan masyarakat bukan Melayu khususnya orang Cina disebalik pejuang pendidikan dan budaya Cina.

“GPMS memberi amaran kepada Dong Zong dan rakan-rakan rasis mereka agar berhenti menggunakan sentimen api perkauman dikalangan bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.

“GPMS juga percaya tuntutan biadap Dong Zong ini tidak melambangkan pandangan keseluruhan masyarakat bukan Melayu kerana masih ramai di luar sana yang menyintai negara Malaysia serta mengangkat nilai-nilai harmoni rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan negara, ” ujarnya.

Sehubungan itu kata Mohd Alif Anas, GPMS sekali lagi memberi amaran untuk jangan menjolok sarang tebuan.

Tambahnya, semua pihak khususnya Dong Zong dan juak-juaknya perlu akur dengan keputusan Perdana Menteri mengenai perkara ini dan mula bersikap terbuka serta pragmatik demi keharmonian dan kecemerlangan pendidikan negara.