GPS adakan program jelajah ke seluruh negeri mulai hari ini perkenal logo baru parti

GPS adakan program jelajah ke seluruh negeri mulai hari ini perkenal logo baru parti

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan konvoi jelajah ke seluruh negeri bermula esok untuk memperkenalkan logo baharu bertemakan Burung Kenyalang dan lagu rasmi baharu parti yang telah dilancarkan pada Rabu oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang juga Pengerusi GPS.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan berkata program konvoi lapan hari itu yang bermula esok (11 Jan) hingga 18 Jan, akan singgah di bandar-bandar utama negeri ini bagi memperkenalkan logo baharu parti kepada rakyat Sarawak.

Beliau berkata konvoi itu, yang akan singgah di 19 bandar utama, akan bermula di Lawas, Limbang sebelum bergerak ke Miri esok manakala hentian lain ialah di Bintulu, Mukah, Selangau, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Balai Ringin, Serian, Siburan, Bau, Lundu, Batu Kawah, Sadong Jaya dan Samarahan.

Kira-kira 60 pemuda dan wanita dari empat parti komponen GPS — Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan menyertai konvoi tersebut untuk mewujudkan kesedaran dan mempromosikan logo baharu itu secara besar-besaran terutama kepada golongan berusia di luar bandar.

Snowdan berkata selain mengibarkan bendera GPS, kenderaan-kenderaan yang menyertai konvoi juga mempunyai pelekat logo Burung Kenyalang manakala anggota konvoi akan bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai serta pemimpin masyarakat setempat di setiap bandar yang dilawati.

“Generasi lama yang berusia lebih 60 tahun adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dan sepanjang program ini, kami ingin menerangkan kepada mereka bahawa ada yang lebih baik daripada logo dacing lama, iaitu logo baharu berupa Burung Kenyalang Sarawak.

“Kami mahu mereka ingat logo baharu ini dan matlamat GPS adalah agar pada setiap pilihan raya mereka akan ingat logo baharu kami,” kata beliau.

Lebih 12 wartawan dari Kuching turut diundang untuk menyertai konvoi tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi berkata logo itu akan digunakan untuk Pilihan Raya Negeri yang ke-12 kelak, yang dijangka diadakan pada 2021.

Beliau berkata GPS akan menghantar logo itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan selepas ia dilancarkan secara rasmi pada 19 Jan oleh Abang Johari di Stadiurm Tertutup Negeri di sini.

Nanta, yang juga Setiausaha Agung PBB berkata lebih 8,000 anggota dan penyokong parti dari seluruh negeri dijangka menghadiri majlis pelancaran itu.

— BERNAMA