Malaysia Dateline

GPS akan terus sekat Umno dari masuk Sarawak

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menghalang Umno daripada melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri berkata parti politik yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia tidak memahami Sarawak sebaik pemimpin negeri ini sendiri.

“Di Sarawak tidak ada platform lain. Kita tidak akan benarkan UMNO masuk Sarawak kerana mereka tidak tahu apa yang terbaik untuk Sarawak.

“Sebab itu kita tidak mahu mereka masuk Sarawak. Kita jaga kita. Apabila kita bersatu, kita dapat lindungi diri kita (Sarawak),” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan Borneo hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Asrama Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Dewan Serbaguna Kompleks DBNA di sini, hari ini.

GPS dan Umno kini bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat.