Malaysia Dateline

GPS belum putuskan bantu calon PN di Sabah

Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum lagi membuat sebarang keputusan bagi membantu kempen calon-calon dari Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah kali ini.

Menurut Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi, memandangkan GPS dan PN berada dalam satu Kerajaan Persekutuan yang sama, adalah tidak salah sekiranya GPS membantu calon-calon dari PN untuk berkempen.

“Secara dasarnya, saya tidak melihat apa-apa kesalahan jika GPS mahu membantu PN di PRN Sabah ketika ini.”ujarnya.

Bagaimanapun, Nanta menegaskan keputusan sama ada GPS akan membantu calon-calon PN nanti perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan tertinggi gabungan parti terlebih dahulu.

“Apa pun setakat ini, kita masih belum memutuskan atau berbincang mengenai perkara tersebut,”tegasnya lagi.

Pada masa sama, ujarnya GPS turut berminat untuk melihat situasi dan keadaan PRN Sabah yang kini sedang berlangsung.

“Jelas GPS sangat berminat melihat bagaimana perkara ini akan berlangsung. Seperti orang lain, kami berasa agak luar biasa kerana terdapat begitu banyak calon yang bertanding.

“Sabah dan Sarawak tidak pernah sama dari segi bagaimana pilihan raya dilaksanakan selama ini.

“Justeru, sentimennya mungkin kedua-dua negeri itu berada di Malaysia Timur, namun bagi senario politiknya, kedua-dua negeri ini mempunyai perbezaan,”tambahnya.