Malaysia Dateline

GPS bingung selepas MoU dengan PN

Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bingung mengenai perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani ketua-ketua parti mereka untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perubahan pendirian GPS dalam Perikatan.

PRS adalah parti komponen dalam GPS, gabungan yang memerintah kerajaan negeri Sarawak.

“Kami (sepatutnya) Perikatan + GPS,” kata Masing yang juga timbalan ketua menteri Sarawak, lapor The Malaysian Insight.

Menurutnya, parti komponen GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS – masih belum secara rasmi menjadi anggota Perikatan.

Ahad lalu, satu kenyataan dikeluarkan menyatakan persetujuan antara Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).

Masing berkata, GPS hanya menyokong Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri untuk menamatkan pergolakan politik negara pada Ferbruari lalu, jelasnya.

Ketua Penerangan PBB Idris Buang juga bingung mengenai MoU berkenaan.

“Apa yang saya faham, GPS bukan anggota PN tetapi hanya rakan sekutu untuk membentuk kerajaan persekutuan,” kata Adun Muara Tuang itu.

GPS keluar dari Barisan Nasional (BN) selepas gabungan itu kalah dalam pilihan raya umum 2018.

Ekoran itu, DAP Sarawak menyindir mereka dengan mendakwa tindakan itu adalah amnesia selektif.

Menurut Pengerusi DAP Batu Kitang, Abdul Aziz Isa berkata, beliau tertanya-tanya, adakah pemimpin GPS mengalami amnesia selektif?

“Jika tidak, bagaimana mereka lupa apa yang telah mereka persetujui? Adakah mereka fikir ini adalah semacam sinetron yang penuh dengan plot dan adakah mereka fikir ini adalah jenaka?

“Malah ungkapan ‘kejutan’ seperti itu dianggap sangat pincang di mata rakyat.Tidak perlu mereka menjadi ‘pura-pura’ terkejut padahal sebenarnya mereka telah menyokong pembentukan PN sejak awal lagi.

“Sekiranya mereka ingin membuat skrip yang lebih baik, pastikan penulis skrip itu menjadikan plotnya lebih dramatik seperti drama Indonesia atau filem Bollywood,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu para pemimpin GPS yang menandatangani MoU itu mengakuinya dengan berani.

“Sekiranya mereka saling bertentangan, ini menunjukkan bahawa apa yang disebut PN pro Melayu dan Islam tidak hanya mendapat sokongan kesahihan yang diragukan di Dewan Rakyat, tetapi juga gabungan yang lemah dan longgar yang tidak mempunyai pengiktirafan kesahihan di kalangan rakan kongsi mereka sendiri,” tambah Aziz yang juga merupakan Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin yang Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Justeru, katanya gabungan yang lemah dan longgar itu tidak akan dapat mewujudkan kestabilan di negara ini kerana ia akan runtuh dalam masa terdekat nanti.