Malaysia Dateline

GPS gagal lindungi hak tanah adat rakyat

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal mempertahankan dan melindungi hak undang-undang tanah adat rakyat di negeri ini.

Justeru, Pengerusinya Larry Sng berkata, PKR Sarawak akan memperjuang dan menyelesaikan isu tanah hak adat Bumiputera (NCR) rakyat negeri ini sebagai perkara utama sekiranya mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

“Jika dilindungi, saya pasti tanah yang ada sekarang cukup untuk semua rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menjelaskan, sekiranya diberi peluang dan menang pada PRN12 kelak, perkara yang akan dilakukan kerajaan negeri baharu
ialah meningkatkan peranan dan fungsi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bagi menjalankan kerja pemetaan perimeter dan kajian tanah dengan betul.

Di samping itu, tambahnya dana akan disediakan untuk menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti sempadan tanah adat Anak Negeri dengan tepat dan menyelesaikan isu ‘Hak milik Tanah / Akta’ dengan segera.

“Kerajaan baharu juga akan bekerjasama dengan masyarakat setempat dan Majilis Adat Istiadat Sarawak.

“Manakala kerja-kerja pengukuran NCR akan diselesaikan dalam jangka masa lima tahun.

“Malah, Tribunal Khas Tanah akan dibentuk segera untuk menimbangtara dan menyelesaikan perselisihan mengenai hak tanah dan sempadan tanah adat serta menyelesaikan kes tertunggak,” ujar Larry.

Katanya, pembangunan negeri mestilah sesuai dengan model lestari dan mesra alam, dengan mempertimbangkan faktor sosiobudaya masyarakat sekeliling

“Dengan ini, penglibatan anak jati Sarawak iaitu orang asal yang kaya dengan keunikan sejarah Sarawak wajib dilibatkan,” katanya.

Pada masa sama, jelas beliau lagi PKR turut akan mengkaji semua konsesi terutamanya konsesi yang telah mendapat aduan sebelum ini.